Minyak Masak Paket, Tepung Gandum Dan Gula Sukar Diperolehi

Mohd Elfie Basir menyusun barangan jualan di gerainya di Pasar Besar Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Bekalan tepung gandum, gula dan minyak masak paket semakin sukar diperoleh daripada pembekal.

Demikian kata peniaga barangan runcit di Pasar Besar Kota Kinabalu yang berhadapan kekurangan bekalan barang keperluan asas tersebut.

Tinjauan di Pasar Besar itu mendapati, kebanyakan peniaga barangan runcit tidak menjual ketiga-tiga barangan itu kerana kesukaran memperoleh bekalan sejak bulan lalu.

Peniaga, Mohd Elfie Basir, 35, berkata, jika dahulu bekalan tepung gandum sangat terhad tapi, sejak kebelakangan ini mereka langsung tidak menerima bekalan tepung.

“Tepung gandum memang tiada bekalan sejak beberapa minggu ini. Jika ada bekalan yang sampai sekalipun, kami hanya menerima sekotak sahaja bagi setiap peniaga.

“Namun, itu tepung gandum biasa, tepung gandum bersubsidi sudah lama tiada bekalan,” katanya.

Kenaikan harga barang keperluan asas pada masa ini menyebabkan peniaga sepertinya hanya memperoleh untung kecil. Ada kalanya keuntungan mereka hanya 10 sen hingga 20 sen sahaja, itu pun pelanggan mengeluh harga mahal.

Pada masa ini, bukan sekadar barang keperluan asas naik harga, plastik juga turut mengalami kenaikan harga.

Seorang lagi peniaga, Che Fok Lan, 80, sekarang susu pekat juga turut naik harga sebab itu mereka tidak lagi menjual susu pekat kerana tiada untung.

“Disebabkan barang keperluan seperti tepung dan gula tiada bekalan, saya terpaksa menutup gerai lebih awal. Memang susah mahu dapat bekalan tepung gandum dan gula sekarang.

“Harga tepung dan gula daripada pembekal juga semakin mahal jadi sebagai peniaga kami terpaksa menaikkan sedikit harga jualan. Biarpun pelanggan bising tapi, kami sebagai peniaga turut tersepit,” katanya.

Bagi Amir Joggoh, 60, sejak pandemik melanda bekalan minyak peket langsung tidak dihantar ke pasar ini.

Bekalan tepung gandum ada kalanya langsung tiada dalam masa seminggu. Jika ada pun, bekalan amat terhad iaitu sekotak sahaja bagi setiap peniaga.

Dari segi harga pula memang berlaku kenaikan harga tepung kira-kira 30 hingga 50 sen bergantung kepada jenamanya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *