Tepung Gandum Naik Harga, Roti Canai Mungkin Lebih Mahal

Tepung gandum yang merupakan bahan utama dalam roti canai, dikatakan bakal berdepan masalah kekurangan bekalan.

KUALA LUMPUR : Harga roti canai, yang merupakan makanan kegemaran rakyat Malaysia, mungkin meningkat susulan kenaikan harga tepung gandum.

Berdasarkan beberapa laporan berita, harga bahan itu dilaporkan sudah meningkat dan terdapat kekurangan bekalan di kedai runcit.

Ini berlaku walaupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dilaporkan berkata, larangan eksport gandum oleh India tidak akan menjejaskan bekalan komoditi itu di Malaysia kerana ia mengimport 80% gandumnya dari Australia dan bakinya dari Amerika Syarikat, Kanada dan Ukraine.

Ketika ini, roti canai dijual pada harga RM1.20 hingga RM1.70 sekeping.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Jawahar Ali Taib Khan berkata, harga tepung gandum mengalami kenaikan sebelum larangan eksport oleh India.

Katanya, seguni tepung gandum seberat 25kg yang sebelum ini dijual pada harga RM45, kini berharga RM65.

“Jika ini tidak dikawal, saya bimbang akan ada sedikit kenaikan harga produk berasaskan gandum oleh 9,000 ahli Presma.”

Beliau juga bimbang pemborong mungkin mula menyorok tepung gandum untuk menaikkan harga, tetapi ahli Presma akan cuba sedaya upaya mengelak daripada berbuat demikian.

Beliau menggesa kerajaan supaya mencari jalan bagi menyelesaikan masalah itu seperti menambah senarai negara pengeluar gandum untuk mengimport komoditi itu.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas), J Suresh berkata, restoran akan terjejas dengan perkembangan terbaru itu.

“Walaupun restoran menaikkan harga baru-baru ini, ada kemungkinan berlaku kenaikan lagi.”

Katanya, restoran mungkin mencari alternatif kepada tepung gandum, jika harga terus meningkat. = FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *