Pemimpin Bersatu Mungkin Beralih Ke USNO Untuk Jadikan GRS ‘Original Sabahan’, Kata Penganalisis

Hajiji Noor (kiri) bersama Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Star, Jeffrey Kitingan menunjukkan logo GRS selepas mesyuarat pertama gabungan itu pada 18 Mac lalu.

KOTA KINABALU: Penganalisis politik berpendapat, kemasukan Usno dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah sebagai alternatif bagi mengekal atau menarik sokongan Bumiputera Islam kepada gabungan itu, sekiranya Bersatu “dipinggirkan”.

Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara berkata, kewujudan Usno dalam GRS juga dilihat menjadi platform, sekiranya pemimpin Bersatu di Sabah ingin beralih arah kepada parti tempatan.

“Ia (GRS menerima Usno) satu langkah strategik…Umum mengetahui GRS kini cuba menjadi sebuah blok politik seperti GPS (Gabungan Parti Sarawak) di Sarawak, namun ia tidak akan 100% dapat ’emulate’ GPS kerana komposisi GRS terdiri daripada parti dari Semenanjung, iaitu Bersatu,” katanya kepada FMT.

Tony berkata, walaupun Usno mungkin menjadi platform kepada pemimpin Bersatu di Sabah, ketidakstabilan politik semasa, khususnya di peringkat persekutuan menjadikan kerajaan negeri sentiasa
“berhati-hati” untuk memastikan kestabilan kerajaan GRS.

Sementara itu, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah tidak menolak kemungkinan pemimpin Bersatu beralih arah dengan menyertai Usno.

“Tidak mustahil ramalan (pemimpin Bersatu beralih ke Usno) itu menjadi realiti kerana sudah pasti ada sebab mengapa Usno diterima GRS, manakala tiga lagi parti, iaitu LDP (Parti Liberal Demokratik), PCS (Parti Cinta Sabah) dan KDM (Kemakmuran Demokratik Masyarakat) masih dalam pertimbangan.

“Usno boleh dijadikan alternatif, sekiranya ada yang berhasrat beralih kepada parti lokal sebagai platform politik mereka, selain menubuhkan parti baharu, sekiranya perlu,” katanya.

Lee berkata, kejayaan GPS sebagai perikatan politik tempatan di Sarawak pasti menjadi rujukan kepada GRS, walaupun “acuannya” berbeza ketika ini. Tetapi, katanya, GRS perlu berusaha lebih gigih, selain menggunakan teknik berkesan, sekiranya mahu berjaya seperti GPS.

“Salah satu caranya ialah menggunakan GRS sebagai ‘direct candidate’ pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15),” katanya.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, penyertaan Usno dalam GRS akan digunakan pemimpin Bersatu di Sabah sebagai platform baharu mereka bagi menjadikan GRS gabungan “original Sabahan”.

Katanya, landskap politik Sabah dijangka berubah selepas PRU15, dengan GRS membentuk identiti sendiri, sesuai dengan imej parti tempatan.

Beliau berkata, langkah GRS menerima Usno juga jelas untuk memastikan tiada pertembungan sesama parti lain yang bersekutu dengan mereka.

“Selain itu, memandangkan situasi PN (Perikatan Nasional) di Semenanjung tidak begitu stabil dan belum tentu mampu memenangi PRU akan datang, maka GRS adalah payung politik terbaik untuk landskap politik Sabah. Dengan ini, bila-bila masa PN menjadi tidak relevan atau tidak diperlukan lagi di Sabah dan GRS dijangka memainkan peranan mengambil alih peranan,” katanya.

Isnin lalu, Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Hajiji Noor mengumumkan Usno diterima sebagai ahli baharu gabungan itu. Bagaimanapun, permohonan LDP, PCS dan KDM untuk menyertai GRS masih dalam pertimbangan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *