Tiada Lagi Vaksin Percuma Kanak-Kanak Selepas 15 Mei

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata pemberhentian itu dibuat bagi mengelakkan pembaziran vaksin selepas permintaan vaksinasi terhadap kanak-kanak semakin menurun.

KUALA LUMPUR : Kementerian Kesihatan (KKM) tidak lagi menawarkan pemberian vaksin dos pertama jenis Pfizer dan Sinovac secara percuma melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) bagi mereka berusia lima hingga bawah 12 tahun selepas 15 Mei ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali, berkata pemberhentian itu dibuat bagi mengelakkan pembaziran vaksin selepas permintaan vaksinasi terhadap kanak-kanak semakin menurun.

“Permintaan vaksinasi yang rendah boleh menyebabkan pembaziran vaksin yang tinggi. Bagi mengelakkan pembaziran vaksin Comirnaty (Pfizer) kanak-kanak yang tidak digunakan dalam tempoh enam bulan selepas dikeluarkan oleh pengilang, penetapan tarikh akhir dos pertama perlu dibuat.

“Berdasarkan situasi semasa, Mesyuarat Covid-19 Immunisation Task Force (CITF-C) telah memutuskan 15 Mei 2022 sebagai tarikh akhir pemberian dos pertama vaksin Covid-19 bawah PICKids,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, ibu bapa kepada kanak-kanak yang belum menerima Vaksin Covid-19, perlu membuat keputusan mengenai vaksinasi sebelum 15 Mei 2022 di mana selepas tarikh tersebut vaksin kanak-kanak jenis Pfizer tidak lagi ditawarkan di mana-mana fasiliti kesihatan awam dan swasta di Malaysia manakala vaksin Sinovac pula hanya boleh diperolehi dengan bayaran di fasiliti swasta.

Noor Azmi bagaimanapun berkata, keputusan itu tidak melibatkan vaksinasi bagi kanak-kanak yang lahir pada 2017 dan belum mencapai usia lima tahun pada 15 Mei 2022.

“Kanak-kanak dalam kategori ini boleh mendapatkan vaksinasi Covid-19 dengan mendaftar dalam Aplikasi MySejahtera. Perincian mengenai vaksinasi kumpulan ini akan diperjelaskan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata, sebagai persediaan tarikh akhir dos pertama, jabatan kesihatan negeri telah pun memulakan operasi “Gerak Gempur” di lapangan.

“Ibu bapa yang telah mendaftarkan anak dalam MySejahtera tetapi masih belum disuntik akan dihubungi oleh petugas kesihatan samada melalui telefon, media sosial atau lawatan ke rumah bagi menawarkan vaksinasi Covid-19 kepada anak-anak mereka.

“Ibu bapa yang bersetuju akan diberikan tarikh janji temu sebelum tarikh akhir dos pertama dan ibu bapa yang belum mendaftarkan anak mereka untuk vaksinasi boleh mendaftarkan anak dalam MySejahtera selewat-lewatnya 8 Mei 2022,” katanya.

Sehingga 12 April 2022, seramai 1,371,120 atau 38.6% kanak-kanak telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 dan 195,865 telah menerima dua dos vaksin dengan purata pemberian vaksin dos pertama sekitar 4,500 dos sehari sejak tujuh hari lalu.

Katanya, ibu bapa digalakkan untuk memastikan anak mereka menerima vaksin bagi mengelakkan komplikasi jangkitan Covid-19 yang teruk.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *