Warisan Jawab Star Isu Kad Pengenalan Sabah

Ketua Penerangan Warisan Awang Ahmad Sah berkata, isu kad pengenalan Sabah harus dilihat secara holistik dan tiada keperluan untuk ia disensasikan.

KOTA KINABALU: Isu kad pengenalan Sabah dibangkitkan Naib Presiden Star Kenny Chua berniat menimbulkan naratif negatif bahawa Naib Presiden Warisan Jaujan Sambakong menolak cadangan itu kerana mempunyai agenda tersembunyi.

Ketua Penerangan Warisan Awang Ahmad Sah berkata walaupun Kenny menyatakan berlaku perbezaan pendapat antara Jaujan dengan Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking, ia adalah perkara biasa dalam mana-mana organisasi politik yang sihat.

Katanya, perkara itu harus dilihat secara holistik dan tiada keperluan untuk disensasikan kerana apa yang penting adalah motif atau hala tuju ke atas perbezaan pendapat tersebut.

“Dalam isu yang dibangkitkan Kenny bahawa timbul percanggahan pendapat dalam Warisan mengenai kad pengenalan Sabah yang meragukan di antara Darell dan Jaujan, bagi saya beliau berniat menimbulkan naratif negatif bahawa Jaujan membantah cadangan IC Sabah kerana ada agenda tersembunyi.

“Darell konsisten dengan cadangan pemberian kad sabah untuk rakyat Sabah tulen sebagai satu langkah penyelesaian terhadap kewujudan kad pengenalan yang meragukan di mana beliau telah suarakan sejak Warisan menjadi pembangkang sehingga sebagai menteri kabinet kerajaan persekutuan dan kini sebagai pembangkang semula,” katanya dalam kenyataan.

Awang Ahmad Sah.

Awang berkata, Darell turut mengulangi pendirian sama dalam satu forum bersama dengan Presiden SAPP Yong Teck Lee yang dianjurkan pada 4 Mac lepas

Katanya, bagi pihak Jaujan pula, kad pengenalan Sabah bukan penyelesaian kepada kad pengenalan yang meragukan kerana bagi beliau, isu pengesahan status kepada pemegang dokumen yang meragukan ini perlu dirujuk kepada Mahkamah Anak Negeri (MAN) yang mempunyai akses secara terus kepada ketua kampung bagi mengesahkan status pemegang dokumen itu.

Awang berkata, Jaujan mengatakan cara terbaik adalah Jabatan Pendaftaran Negara harus bekerjasama rapat dengan MAN bukan saja sebagai sumber rujukan ke atas kad pengenalan yang meragukan tetapi juga untuk setiap permohonan surat beranak dan Mykad yang diragui status pemohon.

“Dalam konteks ini, ketua kampung boleh mengesahkan kepada MAN mengenai status kewarganegaraan pemohon atau status perkahwinan ibu bapa yang sering kali menjadi masalah kepada anak-anak terbabit.

“Jaujan telah merujuk kepada kaum etnik Murut, Lundayeh dan Dusun di pedalaman Sabah yang masih belum dilengkapi dengan dokumen pengenalan diri disebabkan perkahwinan ibu bapa yang tidak berdaftar,” katanya.

Beliau berkata, Kenny berhak untuk tidak bersetuju dengan pendapat Jaujan tapi amat tidak wajar mensensasikan perbezaan pendapat di antara Darell dan Jaujan kerana ini jelas bermotifkan politik jahat di mana ia telah dijadikan sebagai alat untuk menjatuhkan imej Warisan oleh “cybertroopers” mereka di media sosial.

“Hakikatnya, baik Darell maupun Jaujan, kedua-dua mereka melihat kepada alternatif jalan penyelesaian terhadap masalah kewarganegaraan yang meragukan dari kalangan rakyat Sabah.

“Mungkin Kenny dan pemimpin-pemimpin Star boleh bertanya juga kepada presiden mereka Jeffrey Kitingan apa pendirian beliau berkenaan kad pengenalan Sabah ini?,” soalnya.

Awang turut mempersoal, sebagai pengerusi jawatankuasa khas mengenai pekerja serta warga asing tanpa dokumen, adakah kad pengenalan Sabah ini akan Jeffrey letakkan sebagai cadangan kepada penyelesaian isu pendatang asing tanpa izin di Sabah. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *