Mengapa Rakyat Sabah Pertikai Hasil Cukai 40%

KUALA LUMPUR : Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini mengejutkan pemimpin politik Sabah mengenai formula perkongsian hasil baharu antara Sabah dan kerajaan persekutuan.

Rakyat Sabah terkejut apabila mengetahui formula lama 40% tidak lagi digunakan.

Perkongsian hasil menjadi isu yang dipertikaikan dengan pemimpin politik Sabah selama ini dan kadar 40% dianggap sebagai ujian dalam hubungan persekutuan-negeri.

FMT meninjau kontroversi hasil cukai Sabah dengan lebih dekat.

Mengapa mereka bercakap mengenai perkongsian 40%?

Tuntutan Sabah adalah susulan daripada perlembagaan persekutuan yang menetapkan bahawa kerajaan persekutuan mesti memperuntukan geran khas kepada Sabah dan Sarawak pada setiap tahun kewangan.

Bagi Sabah, jumlah geran yang dinyatakan itu adalah bersamaan dengan dua perlima atau 40% daripada jumlah hasil cukai yang dikutip oleh kerajaan persekutuan daripada Sabah melebihi pendapatan bersih yang diperolehi pada 1963, iaitu tahun Malaysia dibentuk.

Jika RM50 juta hasil cukai dikutip daripada negeri itu pada 1963 dan RM200 juta dikutip tahun lepas, maka bahagian 40% akan dikira berdasarkan perbezaan antaranya, iaitu 40% daripada RM150 juta.

Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah Roger Chin berkata, peruntukan dalam perlembagaan itu diwujudkan pada 1963 supaya kedua-dua negeri dapat memenuhi keperluan mereka melebihi apa yang diterima oleh negeri lain bagi membantu dalam pembangunan yang lebih pantas.

Bagaimanapun Chin memberitahu FMT bahawa geran khas kepada Sabah dan Sarawak tertakluk kepada semakan mengikut Perkara 112D perlembagaan persekutuan dan formula 40% tidak ditetapkan.

Semakan pertama perkongsian hasil

Katanya, perlembagaan menyatakan bahawa akan ada semakan geran khas pada 1969 dan 1974 dan selepas itu pada masa yang diperlukan oleh kerajaan persekutuan atau negeri.

Semakan pertama dilakukan pada Ogos 1970 yang menyaksikan kerajaan persekutuan dan negeri Sabah bersetuju untuk pembayaran jumlah tetap geran persekutuan.

Ia adalah: RM20 juta pada 1969; RM21.5 juta pada 1970; RM23.1 juta pada 1971; RM24.8 juta pada 1972 dan RM26.7 juta pada 1973.

Minggu lalu, Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan berkata, pendapatan bersih Sabah pada 1969, iaitu berdasarkan formula 40%, adalah kira-kira RM22 juta dan sejumlah RM20 juta dipersetujui sebagai geran tahunan kerajaan persekutuan dengan peningkatan 7.5% setahun.

Kitingan juga berkata, selepas 48 tahun, jumlah yang sepatutnya diberikan adalah jauh lebih tinggi berbanding RM26.7 juta yang diterima oleh Sabah setiap tahun sekarang.

Adakah semakan 1970 masih kekal?

Chin berkata, perintah 1970 itu tidak bermaksud untuk mengubah formula 40% kerana Perkara 112D perlembagaan persekutuan memperuntukkan semakan kedua dilakukan untuk tempoh lima tahun akan datang mulai 1974.

Bagaimanapun, tidak ada semakan kedua dilakukan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang Phoong Jin Zhe berkata, kerajaan persekutuan Pakatan Harapan (PH) telah memperuntukkan jumlah yang lebih besar kepada Sabah pada 2020.

“Menteri mencadangkan untuk menaikkan kadar itu, iaitu menggandakannya kepada RM53.4 juta untuk Sabah, dengan rancangan seterusnya untuk menggandakan kadar itu semula kepada RM106.8 juta dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya, berdasarkan Ucapan Bajet 2020 yang dibuat oleh Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan.

Phoong berkata, apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkuasa, jumlah itu berkurangan semula kepada RM26.7 juta untuk 2021.

Apa yang mesti dibuat selepas ini?

Chin berkata, perintah 1970 itu hanya boleh digantikan dengan semakan lanjut yang kini sudah lama tertangguh.

Katanya, perlembagaan menjelaskan bahawa semakan akan dilakukan antara kerajaan persekutuan dan Sabah secara bersama dan tidak sekali-kali secara sebelah pihak dan formula asal 40% masih boleh digunakan sebagai asas untuk angka baharu.

Pada Khamis, menteri kewangan memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan persekutuan dan negeri Sabah kini dalam proses menyemak semula formula perkongsian hasil yang akan diumumkan tidak lama lagi. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *