Henti Guna MySejahtera? Tunggu Beberapa Minggu Selepas 1 April – KJ

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mahu melakukan penilaian corak jangkitan Covid-19 beberapa minggu selepas pembukaan sempadan negara bermula 1 April, sebelum membuat keputusan menghentikan penggunaan MySejahtera.

Khairy berkata, penggunaan aplikasi itu boleh dihentikan jika tiada perubahan ketara dalam corak mobiliti dan jangkitan selepas beberapa minggu sempadan negara dibuka.

“Kita nak tengok dengan pembukaan sempadan dan juga dengan kelonggaran yang kita beri pada 1 April, sekiranya ada perubahan dalam ‘pattern mobility’ dan ‘pattern jangkitan’ untuk tempoh beberapa minggu dan kalau tidak ada perubahan ketara dan kita boleh ‘stop’ (berhenti) lah.

“Cuma saya nak tunggu sekejap bila nak buka sempadan ini..ada kelonggaran, bulan puasa dan sebagainya. Saya nak tengok apa perubahan dari segi mobiliti dan jangkitan, mana jangkitan itu berlaku,” katanya, hari ini.

Beliau mengulas cadangan dikemukakan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), hari ini, mengatakan MySejahtera kurang berguna apabila negara mula beralih ke fasa endemik Covid-19, mulai 1 April.

Di tengah-tengah desakan agar Putrajaya tidak meneruskan penggunaan aplikasi itu, Presiden MMA Dr Koh Kar Chai, berkata dengan jumlah besar kes positif dalam kalangan masyarakat, pengesanan kontak tidak boleh diguna pakai secara meluas kerana ia tidak akan membuahkan hasil diharapkan.

Dalam pada itu, Khairy berkata, beliau menjangkakan rundingan memuktamadkan berhubung terma persetujuan pengendalian perisian MySejahtera akan dilaksanakan dalam tempoh kurang sebulan.

Beliau juga memberi jaminan data MySejahtera adalah dimiliki Kementerian Kesihatan dan disimpan dalam “server kerajaan”, sebaliknya perisian dan platform itu sendiri dikendalikan syarikat swasta.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil, mempersoalkan sama ada benar data MySejahtera disimpan dalam “Alibaba Cloud”, sistem penyimpanan data dalam talian dimiliki syarikat berpangkalan di China, Alibaba Group.

Dalam perkembangan lain Khairy berkata, pengurusan SOP laluan darat dengan Indonesia dan Brunei sudah diselesaikan di pihak negara ini, sambil memaklumkan kerajaan sedang menunggu penguatkuasaan SOP laluan sama membabitkan kedua-dua negara itu.

“Perlu ada pengurusan timbal balas. Kalau tidak ia akan jadi pelik. Jadi, kita sedang menunggu.”

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *