Bung Moktar Minta ‘Tengok’ Pelaburan Unit Amanah

Bung Moktar (dua dari kiri) bersama Zizie Izzete ketika hadir bagi sambung bicara kes tuduhan rasuah berhubung pelaburan unit amanah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bekas Pengurus Besar Kumpulan Kewangan (CFO) Felcra memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen di sini, hari ini bahawa Datuk Seri Bung Moktar Radin memintanya untuk melihat sama ada agensi itu boleh membuat pelaburan dalam unit amanah, Public Mutual Berhad.

Mohd Azmy Abu Samah, 54, berkata, Bung Moktar bertanyakan mengenai perkara itu sebulan selepas perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar ke pejabatnya dan membuat pembentangan mengenai pelaburan berkenaan.

Menurut beliau yang menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria ketika sesi pemeriksaan utama, Norhaili sebelum ini diperkenalkan kepadanya oleh Bung Moktar pada satu majlis jamuan hari raya di rumah Ahli Parlimen Kinabatangan itu.

“Selepas pertemuan dengan Norhaili di pejabat, Bung ada tanya dia (Norhaili) ada datang atau tidak. Saya beritahu dia ada datang dan buat pembentangan (mengenai produk unit amanah).

“Saya beritahu setakat ini saya tidak boleh buat apa-apa kerana pada waktu itu tengah sibuk dengan pra-audit dan belanjawan untuk tahun depan.

“Selepas itu, Bung Moktar beritahu saya, tengok-tengokkan kalau boleh,” katanya pada perbicaraan kes rasuah dihadapi Bung Moktar dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad berhubung pelaburan Felcra dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Mohd Azmy berkata, beliau kemudiannya meminta Pengurus Kanan Kawalan Kredit Felcra Azriman Ridouan membuat kajian mengenai unit amanah dan mendapati ia adalah masa terbaik untuk membuat pelaburan dalam unit amanah kerana pasaran sedang jatuh.

Saksi pendakwaan ke-26 itu berkata, beliau kemudiannya meminta Azriman dan Pengurus Besar Kewangan Mariah Husain menyediakan simulasi kertas kerja cadangan bagi pelaburan itu di mana pihaknya mencadangkan supaya Felcra menggunakan peruntukan dana pencen.

Beliau berkata, kertas kerja cadangan pelaburan itu dibentangkan kepada Bung Moktar secara informal dan memaklumkan bahawa sebanyak RM50 juta adalah jumlah paling tinggi boleh dilaburkan bagi tujuan mempelajari bagaimana menguruskan selok-belok pelaburan unit amanah.

“Saya beritahu Bung (Moktar), kita boleh dapat kecairan dalam RM1.5 bilion tetapi tunai yang ada sekarang adalah RM300 juta… Bung Moktar kemudiannya tanya berapa hendak dilaburkan, saya beritahu paling tinggi adalah RM50 juta.

“Kemudian Bung (Moktar) beritahu, kalau sudah sedia kita buat kertas kerja dan bentang kepada Lembaga Pengarah, jadi kami siapkan kertas kerja yang diuruskan oleh Azriman.

“Jumlah yang kita sediakan adalah sebanyak RM300 juta tetapi dicadangkan sebanyak RM50 juta sebab hendak belajar bagaimana uruskan unit amanah…kami juga ada bincang mengenai risiko pelaburan,” katanya.

Ditanya sama ada cadangan pelaburan itu dibawa kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ketika itu, Datuk Ramlee Abu Bakar, Mohd Azmy berkata, beliau tidak memaklumkannya tetapi mungkin Azriman ada berbuat demikian.

“Sebahagian pelaburan yang berkaitan dengan pelaburan seperti pertanian atau perniagaan utama akan dibawa ke majlis pengurusan tertinggi (MPT) tetapi yang ini (pelaburan RM50 juta) kita tidak boleh bawa ke MPT kerana CEO tidak arif dalam bidang ini.

“Apabila saya berbincang dengan Datuk Zulkarnain Md Eusope, saya katakan perkara ini perlu dibawa kepada MPT tetapi dia cakap kalau bawa melalui CEO, dia (CEO) tidak akan proses kerana kononnya ia daripada pengerusi (Bung).

“Oleh kerana Zulkarnain masuk setahun awal daripada saya, jadi dia lagi arif mengenai budaya di Felcra, dia nasihatkan saya mengenai perang dingin antara pasukan lama dan baru,” katanya.

Ditanya adakah beliau merasakan relevan untuk dibawa ke MPT, saksi berkata, beliau merasakan ia tidak relevan kerana kurang perbincangan dan tiada (sesi perah otak) ‘brainstorming’ dalam MPT.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette, 44, pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa sama. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *