Peguam UK Sangkal Dakwaan AGC Mengenai Identiti Waris Sultan Sulu

Malaysia berhenti membayar pampasan tahunan kepada Sultan waris Sulu selepas insiden pencerobohan Lahad Datu pada 2013.

KUALA LUMPUR : Seorang peguam berpangkalan di London yang mewakili keturunan Sultan Sulu menyangkal dakwaan Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa identiti waris terbabit diragui.

Memetik surat daripada bekas Peguam Negara Tommy Thomas kepada seorang lagi peguam, Paul Cohen pada 2019, Elisabeth Mason berkata, komunikasi surat menyurat Thomas menunjukkan bahawa AGC dan Kementerian Luar mengetahui dan secara rasmi mengiktiraf pihak yang menuntut dan hak mereka “selama bertahun-tahun”.

Mereka juga secara langsung dan secara individu terbabit dengan pihak yang menuntut sepanjang tempoh yang sama, tambahnya.

“Kenyataan minggu lepas daripada Peguam Negara semasa bahawa ‘identiti (waris) diragui’ sangat mengelirukan,” kata Mason kepada FMT.

“Kerajaan Malaysia cukup kenal dengan pihak yang menuntut, tahu bahawa mereka berhubung secara aman dengan Malaysia dan mereka berbeza sama sekali daripada penuntut takhta lain yang mencabar kedaulatan Malaysia secara ganas.”

AGC menjawab laporan bahawa kerajaan telah diarahkan oleh mahkamah timbang tara Perancis untuk membayar sekurang-kurangnya RM62.59 bilion (USD14.92 bilion) kepada keturunan Sultan Sulu yang terakhir.

Penimbang tara, Gonzalo Stampa, memutuskan pada 28 Feb bahawa Malaysia melanggar perjanjian 1878 antara kerajaan Sulu lama di Filipina dan wakil Syarikat Borneo Utara British yang pernah mentadbir wilayah yang kini Sabah.

Ketika menjelaskan mengapa tiada wakil dihantar ke prosiding timbang tara di Sepanyol, AGC minggu lepas berkata, perjanjian 1878 itu “tidak mengandungi perjanjian timbang tara” dan Putrajaya tidak mengiktiraf tuntutan oleh waris Kesultanan Sulu.

“Kami menegaskan lebih lanjut bahawa identiti waris tersebut diragui dan masih belum dapat disahkan,” katanya.

Bagaimanapun dalam surat pada 2019 yang dipetik oleh Mason, Thomas mengakui bahawa pihak yang menuntut adalah pewaris yang sah kepada kesultanan itu dan mereka adalah individu sama yang dibayar oleh Malaysia selama bertahun-tahun.

Surat itu, yang dilihat FMT, turut diberikan salinannya kepada Stampa.

Pertikaian itu berpunca daripada Surat Ikatan Penyerahan Hak 1878 antara Sultan Sulu ketika itu, Sultan Jamal al Alam, dan Baron de Overbeck, maharaja Sabah ketika itu dan Alfred Dent daripada Syarikat Borneo Utara British.

Mengikut perjanjian itu, Jamal menyerahkan kedaulatan ke atas sebahagian besar Sabah kepada Dent dan Overbeck yang bersetuju bahawa mereka dan bakal waris mereka dibayar 5,000 dolar Mexico setiap tahun.

Pada 1936, Sultan Sulu terakhir yang diiktiraf secara rasmi, Jamalul Kiram II mangkat tanpa waris dan bayaran dihentikan buat sementara waktu sehingga Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Borneo Utara Charles F Macaskie menamakan sembilan waris yang dilantik oleh mahkamah pada 1939.

Walaupun Malaysia mengambil alih bayaran ini apabila ia menjadi pengganti perjanjian itu berikutan kemerdekaan Sabah dan pembentukan Malaysia pada 1963, bayaran ini – bersamaan dengan RM5,300 – dihentikan pada 2013 selepas insiden pencerobohan Lahad Datu.

Dalam surat pada 2019 itu, Thomas melampirkan salinan sebenar penghakiman Macaskie pada 1939 dan berkata, Malaysia tidak mempertikaikan identiti individu-individu tersebut dan hak mereka untuk dibayar.

Beliau juga kesal kerana bayaran dihentikan pada 2013, selain menambah bahawa Malaysia “kini bersedia dan sanggup” membayar semua tunggakan anak guam Cohen dari 2013 hingga 2019.

FMT juga telah melihat dokumen daripada kedutaan Malaysia di Manila bertarikh 28 Jun 2012, meminta waris, yang namanya disenaraikan secara individu, untuk mengambil cek mereka bagi “wang penyerahan”. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *