Pemimpin Sabah Kurang Senang Dengan Desakan Hamzah Laksana Kad Warga Asing

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata tindakan kerajaan untuk mewujudkan kad warga asing khusus bagi pendatang asing di negeri itu hanya untuk kepentingan rakyat Sabah semata-mata. – Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Pemimpin Sabah mempersoalkan desakan Putrajaya untuk meneruskan rancangan kontroversi untuk mengeluarkan kad warga asing di negeri itu.

Bekas Ketua Menteri Yong Teck Lee berkata beliau terkejut dengan desakan Menteri Dalam Negeri untuk melaksanakannya ketika kerajaan negeri itu masih pun belum membuat keputusan.

“Kenapa tergesa-gesa untuk melaksanakan kad warga asing?” kata Timbalan Pengerusi Perikatan itu kepada FMT, sambil menjelaskan bahawa ia adalah hak kerajaan negeri untuk memberi kata putus.

Yong yang juga Presiden SAPP, berkata kerajaan persekutuan sebaliknya harus memberi tumpuan dalam menghantar semula warga asing tanpa dokumen yang berada di pusat tahanan ketika ini serta usaha menghalang pendatang baharu masuk ke Sabah secara haram.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Joachim Gunsalam berkata, kerajaan sepatutnya, “pertama sekali” menutup kelemahan yang membolehkan pendatang masuk ke negeri itu.

Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu mengulangi gesaan parti itu untuk menubuhkan jawatankuasa dwi-parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mencari penyelesaian terhadap masalah pendatang asing.

Ketika mempertahankan cadangannya sebelum itu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata ini adalah masanya untuk menangani masalah pendatang asing di negeri itu menerusi penyelesaian baharu.

Katanya, tindakan kerajaan untuk mewujudkan kad warga asing khusus bagi pendatang asing di negeri itu hanya untuk kepentingan rakyat Sabah semata-mata.

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata Hamzah merujuk kepada perkara yang belum diputuskan oleh kerajaan negeri Sabah.

Manakala Naib Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Kenny Chua berkata Putrajaya harus berusaha mengeluarkan kad pengenalan kepada warganegara tulen dan bukannya mengutamakan warga asing.

“Pendatang asing tanpa dokumen harus dihantar pulang dan tidak diberikan dokumen supaya mereka tidak terus tinggal di sini,” katanya yang merujuk juga kepada “kad burung-burung” dan sijil bancian.

Timbalan Ketua Menteri Wilfred Madius Tangau menyifatkan rancangan itu sebagai manifestasi ‘dasar separuh masak’ dan berkata kerajaan harus memastikan mereka memahami isu pendatang asing sebelum meneruskannya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *