PGA Sabah Gagalkan Cubaan Seludup Barangan Bersubsidi Lebih RM500,000

Rampasan  barangan bersubsidi yang dirampas.

KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai barangan bersubsidi bernilai RM521,017 yang cuba diseludup di Kampung Cenderamata, Jalan Batu Sapi, Sandakan, semalam.

Operasi yang diketuai Pegawai Pemerintah Batalion 20 PGA Beluran, Asisten Komisioner Mohamed Rafiq Mohamed Mutafa itu dijalankan pada 12.30 tengah hari berdasarkan maklumat risikan.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, setibanya pasukan operasi di lokasi mendapati sekumpulan enam lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang memindahkan petrol ke sebuah kapal besi berdekatan.

Katanya, menyedari kehadiran pihak berkuasa, kumpulan lelaki terbabit cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kumpulan lelaki berkenaan sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak petrol ke kapal di laut.

“Semua minyak berkenaan dipindahkan daripada beberapa tong berkapasiti 200 liter yang berada di atas dua lori sambil diperhatikan oleh tonto di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, pemeriksaan lanjut di atas kapal menemukan sebanyak 44 tong gas, 95 kotak minyak masak dan beberapa hos yang disalurkan ke dalam tangki kapal.

Katanya, pemeriksaan dokumentasi juga mendapati semua lori yang digunakan membawa minyak petrol tidak mempunyai kebenaran untuk mengangkut bahan api.

“Manakala lesen bagi kapal yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah tamat tempoh hampir setahun yang lalu.

“Semua enam individu berusia 24 hingga 42 tahun termasuk seorang warga asing ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3 (1) Peraturan -Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik đŸ‘‰ https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *