Arahan Kosongkan Rumah Pangsa Tanjung Aru Kekal Walau Dibantah Penghuninya

Masiung Banah di Rumah Pangsa Tanjung Aru.

KOTA KINABALU: Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) kekal dengan keputusannya yang dibuat pada Mei tahun lalu, untuk mengosongkan Rumah Pangsa Tanjung Aru meskipun dibantah penghuninya yang merayu agar keputusan itu dipertimbangkan.

Pengerusi LPPB, Datuk Masiung Banah berkata penghuni perumahan kos rendah itu perlu berpindah atas faktor keselamatan kerana bangunan berusia lebih 50 tahun itu sudah uzur dan tidak selamat untuk diduduki.

Perkara itu dijelaskan Masiung yang hadir ke Rumah Pangsa Tanjung Aru semalam bagi menyaksikan perpindahan penduduk seperti yang dirancang tujuh bulan lalu.

“Ini antara sebab utama mereka diarahkan untuk mengosongkan bangunan berkenaan dan notis sudahpun diberikan sejak tahun lalu berikutan keadaan struktur bangunan itu tidak lagi selamat untuk didiami,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun proses pengosongan kediaman mendapat bantahan sebahagian besar daripada penyewa.

Dalam kunjungannya itu, Masiung menerima surat bantahan daripada penghuni rumah pangsa berkenaan yang mahukan jalan penyelesaian.

Mereka turut meminta LPPB mengemukakan butiran penuh yang mengesahkan bangunan perumahan yang dihuni mereka itu tidak lagi selamat untuk diduduki.

Masiung memohon maaf atas apa yang berlaku, namun menegaskan bahawa sudah tiada lagi lanjutan tempoh untuk mengosongkan bangunan berkenaan melainkan hanya menunggu keputusan penuh LPPB.

Masiung terima surat bantahan.

Katanya, LPPB juga tidak akan mengutip sewa sepanjang tempoh berkenaan.

Masiung menjelaskan, pihak LPPB sebagai pemilik penuh bangunan perumahan itu tidak mahu dipersalahkan jika berlaku kejadian yang tidak diingini pada masa akan datang berikutan faktor keselamatan premis itu.

“Sebenarnya keputusan ini bukannya keputusan saya sendiri, malah hal ini pernah dibuat kerajaan sebelum ini, dan saya hanya meneruskan legasi sebelum ini.

“Saya tidak sewenang-wenangnya membuat keputusan ini, melainkan sudah berpuas hati dengan penilaian pihak Jabatan Kerja Raya serta nasihat dari pihak pentadbiran LPPB,” jelasnya.

Beliau berkata, pihak LPPB pernah menawarkan kepada penyewa untuk berpindah di beberapa Projek Perumahan Rakyat (PPR) milik LPPB di kawasan lain namun ditolak penduduk dengan alasan mahukan perumahan di kawasan yang berhampiran sahaja. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *