Sabah Tubuh Syarikat Minyak & Gas Sendiri

Hajiji Noor (empat dari kiri) bersama Pengerusi Petronas Mohd Bakke Salleh (empat dari kanan) menyaksikan upacara menandatangani CCA oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Safar Untong (tiga dari kiri) dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz (tiga dari kanan). – Foto JKM

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Hajiji Noor mengumumkan penubuhan syarikat minyak dan gas milik penuh Sabah, SMJ Petroleum Sdn Bhd.

Katanya, penubuhan syarikat minyak berkenaan adalah hasil keputusan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai antara kerajaan negeri dan syarikat minyak nasional, Petronas.

“CCA ini adalah dokumen yang paling penting antara Sabah dan Petronas sejak 16 Jun 1976, apabila perjanjian pembayaran tunai (royalti) dipersetujui, yang ditandatangani antara Sabah dan Petronas.

“Majlis menandatangani CCA hari ini sememangnya menandakan era baharu dalam industri minyak dan gas Sabah,” katanya pada majlis menandatangani CCA itu di Menara Kinabalu.

Hajiji berkata, sejajar dengan terma dan syarat CCA itu, kerajaan negeri berhasrat menubuhkan syarikat milik penuhnya terbabit secara aktif dalam industri minyak dan gas.

Sehubungan itu, beliau berkata, SMJ Petroleum Sdn Bhd dijangka menerajui penyertaan komersial negeri dalam industri minyak dan gas serta menyelaras semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri sedia ada bagi memastikan terma dan syarat CCA berjaya dilaksanakan demi kepentingan Sabah dan rakyatnya.

“Adalah menjadi aspirasi rakyat kita bahawa Sabah akan mendapat lebih banyak daripada industri minyak dan gasnya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, satu jawatankuasa bersama telah ditubuhkan oleh Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) untuk membincangkan pembabitan secara komersial Sabah dalam industri minyak dan gas antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri serta Petronas.

Katanya, sebelum penubuhan jawatankuasa bersama itu, kerajaan negeri dan Petronas telah mengambil inisiatif sendiri dengan mengadakan perbincangan bermula 8 Okt lalu dan dua bulan kemudian selepas beberapa mesyuarat diadakan serta CCA dimuktamadkan.

“Ini menunjukkan Petronas dan kerajaan negeri boleh bekerjasama dalam pembangunan industri minyak dan gas di Sabah.

“Komitmen kedua-dua kerajaan negeri dan Petronas telah memudahkan kerajaan persekutuan kerana hanya satu mesyuarat jawatankuasa bersama untuk kedua-dua pihak mencapai titik persamaan yang ditetapkan dalam CCA,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengalu-alukan pencapaian permuafakatan di antara kerajaan Sabah dengan Petronas dalam isu berkaitan industri minyak dan gas di negeri itu.

Katanya, CCA yang ditandatangani bersama oleh kerajaan negeri dan Petronas merupakan mercu tanda dalam usaha sama pembangunan industri minyak dan gas di Sabah.

“Kerjasama strategik ini akan memberi kesan limpahan ekonomi yang lebih menyeluruh di negeri berkenaan.

“Perjanjian yang dimeterai juga akan membolehkan kerajaan Sabah memainkan peranan yang lebih besar dalam mengembangkan industri minyak dan gas melalui usaha sama erat bersama Petronas.

“Di samping itu, ia akan membuka lagi peluang perniagaan yang lebih meluas kepada syarikat-syarikat tempatan untuk berkecimpung di dalam industri khidmat minyak dan gas di Sabah,” katanya dalam kenyataan.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *