Upacara Pengebumian Cetus Satu Lagi Kluster Baharu Di Sabah

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun.

KOTA KINABALU: Satu lagi kluster baharu COVID-19 yang dikaitkan dengan aktiviti berkumpul beramai-ramai ketika upacara pengebumian ahli keluarga dilaporkan di Sabah, semalam.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata Kluster Alab Senagang di daerah Tenom itu sehingga kini menjangkiti seramai 50 individu termasuk empat kes baharu.

Beliau berkata, jangkitan dalam komuniti itu dikesan selepas seorang wanita tempatan berumur 37 tahun di Kampung Alab Senagang, Tenom disahkan positif COVID-19 pada 14 Oktober lalu.

“Berdasarkan siasatan awal, penularan jangkitan disyaki berpunca daripada upacara pengebumian ibu mentua kepada kes indeks yang meninggal disebabkan COVID-19 pada 10 Oktober lalu.

“Jenazah ibu mentuanya dibawa balik ke Kampung Alab Senagang pada 11 Oktober dan seramai 20 ahli keluarga dilaporkan berkumpul ketika jenazah dibawa pulang ke rumah kes indeks, namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Beliau berkata, sehingga semalam seramai 88 individu disaring berkaitan kluster itu dengan 50 daripadanya dikesan positif COVID-19.

Kelmarin, dua kluster baharu dilaporkan di daerah Beaufort juga berkaitan aktiviti berkumpul ramai-ramai bersama rakan dan ahli keluarga.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata Sabah merekodkan kes sporadik COVID-19 yang tinggi dengan sebanyak 265 kes atau 41.3 peratus daripada 641 kes dikenal pasti berada dalam kategori berkenaan, semalam.

Beliau berkata, keadaan itu amat membimbangkan lebih-lebih lagi kebanyakan yang dijangkiti sudah menerima vaksin COVID-19, sekali gus memberi gambaran bahawa orang ramai semakin lalai mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Sebanyak 41.3 peratus daripada jumlah kes adalah kes yang berlaku secara sporadik, iaitu pembawa virus tidak diketahui dan tempat jangkitan juga tidak dapat dipastikan.

“Lazimnya kes sporadik atau kes melalui saringan bergejala ini berlaku di tempat awam atau khalayak ramai dan disebabkan kelalaian mengutamakan pematuhan SOP,” katanya.

Katanya, walaupun hampir keseluruhan penerima vaksin yang dijangkiti virus hanya mengalami gejala ringan atau tidak mengalami sebarang simptom, keadaan itu tetap membimbangkan.

Beliau membuat kesimpulan, keadaan itu mungkin disebabkan ramai di antara penerima vaksin beranggapan vaksin memberi perlindungan 100 peratus daripada jangkitan.

“Sebagai ingatan, mereka yang sudah memperolehi vaksin tidak terkecuali daripada mematuhi semua SOP bagi melindungi diri daripada jangkitan COVID-19,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *