TUARAN: Kebanyakan destinasi luar bandar di Sabah dilihat menerima kehadiran ramai pengunjung sejak kerajaan negeri membenarkan rentas daerah.
Perkara itu diakui Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai.
“Pembukaan semula aktiviti pelancongan dan pergerakan rentas daerah bermula pada 14 Oktober lalu dan rentas negeri mulai 1 November ini adalah perkembangan yang sangat positif bagi Sabah untuk bergerak ke depan pada waktu pandemik Covid-19 ini.
“Sememangnya, kita sentiasa bersedia menerima semula kedatangan pelancong ke negeri ini. Perkembangan ini akan menggerakkan kembali sektor pelancongan kita dan memberi semula pekerjaan bagi mereka yang kehilangan pekerjaan disebabkan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini.
Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, turut meninjau aktiviti pelancongan di Kiulu termasuk di Minurod Campsite, kira-kira 25 kilometer dari pekan Kiulu.
Kebanyakan pengunjung turut menyatakan kelegaan dapat merentas daerah dan melakukan aktiviti rekreasi atau berkelah bersama keluarga.
Pengunjung Minurod Campsite, Sheq Min Chu, 60, dari Kampung Lakut, Papar berkata, ia adalah kali pertama keluarganya berkumpul untuk melakukan aktiviti bersama setelah hampir dua tahun terpisah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.
“Kami berasa gembira apabila rentas daerah dibenarkan kerana kami dapat bertemu dengan ahli keluarga yang lain setelah sekian lama berada di rumah saja. Sememangnya, kami sekeluarga sudah lama merancang untuk berkelah dan sangat gembira dapat bertemu dengan orang tersayang.
“Kami memilih Kiulu sebagai destinasi rekreasi keluarga kerana keindahan alam semulajadi dan persekitarannya yang segar,” katanya sambil menambah keluarga dan saudara-mara mereka juga sudah merancang untuk melawat kawasan pelancongan di daerah lain.
Seorang lagi pengunjung, Khalid Bidin, 48, berkata, keluarganya sudah merancang untuk mengisi hujung minggu mereka dengan mengunjungi tempat rekreasi atau perkelahan di kawasan luar bandar.
“Sejak pergerakan rentas daerah dibenarkan, kami sekeluarga sudah melawat pusat pelancongan untuk beriadah sebanyak tiga kali. Saya memang menanti-nantikan untuk melakukan aktiviti keluarga kerana kesian melihat isteri dan anak-anak berada di rumah dengan tidak banyak aktiviti dilakukan ketika PKP,” katanya. – HMetro
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost