Rumah Dan Empat Kereta Musnah Dalam Kebakaran Di Papar

PAPAR: Sebuah rumah musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Lakut, Jalan Kota Kinabalu-Papar lama, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.15 pagi itu, empat kenderaan yang berada di dalam kawasan rumah berkenaan turut musnah terbakar sepenuhnya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.21 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, api didapati sedang marak dan operasi memadam kebakaran segera dilakukan bagi mengawal daripada terus merebak ke rumah berhampiran.

“Tindakan operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dengan dua pancutan sepanjang 91 meter,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, api hanya berjaya dikawal daripada terus merebak dan seterusnya kerja-kerja pemadaman saki baki kebakaran diteruskan.

Katanya, tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian ini dan operasi ditamatkan selepas dipastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

“Bahagian Forensik JBPM akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam insiden kebakaran ini,” katanya. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *