Upacara Penghormatan Terakhir Cetus Kluster Baharu Di Ranau

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, upacara penghormatan terakhir itu diadakan untuk isteri kepada kes indeks, yang meninggal dunia akibat kanser usus pada 15 September.

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, kluster baharu yang dicatatkan di Sabah, hari ini, iaitu Kluster Mokodou, berpunca daripada upacara penghormatan terakhir di Ranau.

Katanya, kes indeks adalah seorang lelaki warga emas berusia 64 tahun yang dikesan positif hasil saringan bergejala di Hospital Ranau pada 25 September.

“Siasatan awal mendapati, isteri kepada kes indeks telah meninggal dunia di rumah mereka, di Kampung Mokodou kerana penyakit kanser usus tahap empat pada 15 September.

“Upacara penghormatan terakhir telah dijalankan di rumah kes indeks yang dihadiri oleh hampir 60% penduduk Kampung Mokodou serta kaum keluarga daripada Kampung Tumbalang di Ranau,” katanya dalam kenyataan harian perkembangan Covid-19 Sabah, hari ini.

Masidi berkata, saringan kontak rapat telah dilakukan pada 27 dan 28 September seterusnya mengesan pertambahan jumlah kes positif di Mukim Malinsau serta Mukim Timbua, di Ranau.

Katanya, kes-kes positif terbabit adalah dari kalangan ahli keluarga serta kenalan yang menghadiri majlis pengebumian di Kampung Tumbalang.

“Daripada 146 orang yang disaring, 94 orang didapati positif termasuk 43 kes baharu yang dilaporkan hari ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Masidi berkata semua kedai runcit, kedai serbaneka, pasar raya mini dan pasar raya dibenarkan beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 10 malam, bermula 1 Oktober ini.

Selain itu, katanya, kompleks beli-belah juga dibenarkan beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 10 malam namun hanya untuk subsektor yang telah dibenarkan beroperasi.

“Stesen minyak termasuk kedai serbaneka di stesen minyak dibenarkan beroperasi dari jam 5 pagi hingga 12 tengah malam.

“Sementara itu, pengusaha restoran termasuk di hotel, rumah kelab sukan dan rekreasi, kedai makan, gerai makan, kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kiosk dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *