Masih Terlalu Awal Dedah Hasil Perbincangan MA63, Kata Ongkili

Maximus Ongkili berkata, kerajaan menerusi Majlis Khas MA63 telah bersetuju menyelesaikan isu yang berkaitan dengan MA63, namun tertakluk kepada peraturan serta undang-undang.

KOTA KINABALU: Tiada keperluan bagi kerajaan untuk mendedahkan perbincangan berkaitan Perjanjian Malaysia (MA63) buat masa ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Maximus Ongkili.

Katanya, masih terlalu awal untuk membuat sebarang pengumuman berhubung perbincangan yang telah dilakukan kerana perkara itu masih lagi dalam rundingan.

“Laporan berkenaan (berkaitan perbincangan MA63) sangat teknikal dan dokumennya juga sulit yang mana dilindungi oleh undang-undang berkaitan.

“Bagaimanapun, pengumuman mengenainya akan dibuat dari semasa ke semasa, selepas kita telah mencapai penyelesaiannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Masir Kujat (PSB-Sri Aman) dalam ucapan penggulungan perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Maximus berkata, kerajaan menerusi Majlis Khas MA63 (MKMA63) juga telah bersetuju untuk menyelesaikan isu yang berkaitan dengan MA63, namun ianya tertakluk kepada peraturan serta undang-undang.

“Ketika di bawah kerajaan terdahulu (Pakatan Harapan), beberapa isu dalam MA63 telah dibincangkan dan secara prinsipnya telah dipersetujui.

“Bagaimanapun, untuk menyelesaikan tuntutan berkenaan, ia memerlukan tindakan lanjut termasuk mengubah polisi, memindah perlembagaan bagi kedua-dua kerajaan negeri serta persekutuan sebelum ianya boleh dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Ongkili yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu berkata, MKMA63 pada 13 April telah bersetuju supaya Perintah Kawasan Larangan dan Tempat Larangan (KLTL) yang sebelum ini dikuatkuasakan ke atas Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 [Akta 298] adalah dibatalkan.

Susulan keputusan itu, katanya, kedua-dua pulau berkenaan tertakluk di bawah kuasa perundangan Sabah iaitu Enakmen Taman-Taman 1984 (Sabah No. 6 of 1984) sebaik Perintah Pembatalan KLTL Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan diwartakan dan dikuatkuasakan kelak.

“Dari aspek keselamatan di kedua-dua pulau tersebut, ianya kekal di bawah tanggungjawab kerajaan persekutuan.

“Langkah ini berbeza dengan apa yang telah diputuskan kerajaan PH sebelum ini yang hanya untuk membatalkan Perintah Fi di bawah Akta Fi 1951 [Akta 209] namun mengekalkan Perintah KLTL bagi Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *