Rusuhan DTI Kota Kinabalu, 21 Penghuni Ditahan

KOTA KINABALU: Seramai 21 penghuni Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Kota Kinabalu yang terbabit dalam rusuhan pagi semalam ditahan untuk siasatan lanjut.

Individu yang ditahan termasuk 14 lelaki, berusia lingkungan 19 hingga 51 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah, berkata, sebaik menerima laporan rusuhan, beliau mengarahkan semua elemen pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu ke lokasi kejadian.

Katanya, ia bagi mengambil alih kawalan keselamatan di Depoh Imigresen dalam tempoh masa yang singkat.

“Antara pasukan yang dikerah ke lokasi adalah Unit Tempur Ringan (LSF) bersama Jabatan Siasatan Jenayah, Cawangan Khas dan Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah.

“Sebaik tiba di tempat kejadian pada jam 7.40 pagi, semua penghuni kembali tenang dan memberi kerjasama kepada polis dengan masuk semula ke dalam sel masing-masing,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, beliau turut berada di lokasi untuk berbincang dengan ketua blok E dan F bagi meredakan keadaan.

“Timbalan Pengarah Imigresen (Operasi) Sabah, Masri Adul turut hadir untuk berunding.

“Dalam perbincangan itu, tahanan dinasihatkan supaya mematuhi peraturan serta menggunakan saluran yang ada untuk berbincang dan bukannya mengambil tindakan dengan merusuh.

“Tahanan juga diberi amaran supaya tidak merosakkan harta kerajaan atau bangunan pusat tahanan selain tidak cuba melarikan diri kerana polis sudah mengepung pusat tahanan berkenaan,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, semua tahanan diminta bersabar sementara menunggu proses penghantaran balik ke negara asal selepas pandemik COVID-19 reda.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi semalam, sekumpulan penghuni melakukan rusuhan dengan memecahkan kunci pintu di lokap masing-masing. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *