Larang Saja Guru Enggan Vaksin Daripada Mengajar, Kata Aktivis

Keadaan sesi persekolahan sebelum sekatan penuh. Dilaporkan terdapat lebih 2,500 guru yang enggan mendapatkan suntikan vaksin. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Dua kumpulan aktivis menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap guru-guru yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Jurucakap Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE) dan Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie) berpendapat, larangan mengajar adalah satu tindakan yang wajar dikenakan.

Dilaporkan terdapat lebih 2,500 guru yang enggan mendapatkan suntikan vaksin dan menerusi hantaran di Twitter, Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata beliau akan berhubung dengan guru terbabit.

Radzi turut berkata guru terbabit dilarang mengajar secara bersemuka apabila sesi persekolahan dibuka semula nanti.

Katanya, keputusan untuk melarang mereka berinteraksi dengan pelajar adalah bertujuan memastikan sekolah dapat dibuka dengan selamat.

Pengerusi PAGE Noor Azimah Abdul Rahim memberitahu FMT bahawa dia bersetuju dengan keputusan itu.

“Guru perlu memartabatkan profesion mereka tanpa mengira apa pun keadaannya,” katanya.

“Jika berasa takut, mereka patut bersara atau meletakkan jawatan secara terhormat. Ini mungkin kelihatan keterlaluan tetapi ia adalah soal hidup dan mati.

“Guru-guru yang mempunyai isu kesihatan untuk menerima suntikan mungkin boleh mendapatkan nasihat profesional. Walaupun timbul dakwaan seseorang mungkin mengalami kesan sampingan teruk daripada vaksin tetapi sesetengahnya mungkin tidak berasas.”

Katanya, ibu bapa akan bimbang sekiranya mendapati ada segelintir guru yang tidak mendapatkan suntikan vaksin.

Pengerusi Magpie Mak Chee Kin berkata guru-guru diharapkan untuk menjadi contoh kepada pelajar dan mereka tidak akan menunjukkan contoh baik sekiranya enggan divaksin.

Katanya, mereka juga sepatutnya menjadi pihak yang berperanan untuk meyakinkan ibu bapa dan pelajar untuk mendapatkan suntikan.

Baru-baru ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan semua guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), pegawai masjid dan jurunikah yang masih berdegil dan enggan mengambil vaksin, mungkin tidak dibenarkan meneruskan tugas.

Baginda menzahirkan rasa dukacita itu menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan.

Sultan Sharafuddin turut menyebut satu laporan terdapat 450 guru sekolah rendah dan menengah yang enggan menerima suntikan vaksin di negeri itu.

Sebelum itu Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut mengadakan pertemuan dengan pengarah pendidikan negeri dan 779 guru yang enggan divaksin. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *