Lebih 60% Kes Sabah Hasil Saringan Kontak Rapat, Masih Ramai Tidak Patuh SOP – Masidi

Datuk Seri Masidi Manjun.

KOTA KINABALU : Sebanyak 62.3 peratus atau 1,605 daripada 2,578 kes baharu COVID-19 di Sabah hari ini dikesan hasil saringan kontak rapat, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata peratusan tersebut menyaksikan ketidakpatuhan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa adalah tinggi.

Beliau berkata tiga daerah yang mencatat kes tertinggi hasil saringan kontak rapat hari ini ialah Tuaran dengan 392 kes daripada 469 kes positif, Kota Kinabalu dengan 310 kes daripada 586 kes dan Tawau dengan 100 kes daripada 206 kes.

“Seluruh daerah di negeri Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif COVID-19 yang terus meningkat dan dengan jumlah catatan sebanyak 1,605 kes dikesan daripada saringan kontak rapat.

“Dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak kerajaan,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Masidi berkata sebanyak 28.8 peratus atau 742 kes daripada kes positif COVID-19 pula dikesan melalui saringan bergejala, saringan kluster (1.1 peratus/30 kes), saringan bersasar (0.85 peratus/22 kes) dan selebihnya melalui saringan lain.

Beliau berkata sebanyak 620 kes yang dikesan hari ini ialah dalam kategori satu, kategori dua (1,887), kategori tiga (13), kategori empat (7), kategori lima (25) dan selebihnya masih dalam siasatan.

Katanya jumlah kumulatif kes COVID-19 di Sabah kini 142,939 dan pesakit pulih ialah 1,722 menjadikan kumulatif pulih 109,311 orang manakala 5,003 masih mendapat rawatan.

Sejumlah 46 kes kematian direkodkan hari ini. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *