Lonjakan Kes Covid-19 Di Sabah, Kerajaan Negeri Harus Dipersalahkan, Kata Bekas Menteri Kesihatannya

Keadaan orang ramai yang bersesak di PPV di Sandakan, Sabah.

KOTA KINABALU: Bekas menteri kesihatan Sabah Frankie Poon mahu kerajaan negeri bertanggungjawab atas lonjakan kes Covid-19 pada bulan lalu yang turut menyebabkan rekod kematian yang tinggi.

Walaupun ketidakpatuhan komuniti terhadap prosedur operasi standard (SOP) menyumbang kepada peningkatan itu, namun beliau berkata kerajaan negeri adalah pihak utama yang perlu dipersalahkan menerusi pelaksanaan dasar atau kelemahan yang berlaku.

Pertama, katanya, kerajaan negeri dan pihak berkuasa kesihatan menggunakan sampel ujian tunggakan sebagai alasan untuk menjelaskan angka kes yang tinggi.

“Jurucakap Covid-19 Sabah Masidi Manjun baru-baru ini mengakui bahawa peningkatan statistik Covid-19 adalah disebabkan kes tunggakan.

“Apabila ini berlaku, rakyat tidak akan mempercayai angka diberi oleh kerajaan. Mereka akan keliru dan memilih untuk mengabaikan sahaja angka itu,” katanya kepada FMT.

Poon menegaskan statistik itu sepatutnya berdasarkan angka waktu sebenar.

“Dengan kemudahan teknologi maklumat yang ada, tidak ada alasan untuk berlaku kelewatan itu. Apabila rakyat mula mengabaikan statistik itu, ini adalah permulaan kepada masalah kita,” katanya.

Pada Jumaat, Masidi mengaitkan jumlah kes jangkitan harian yang tinggi kepada sampel ujian tertunggak yang kebanyakan daripadanya direkodkan dua hingga lima hari selepas keputusan ujian diperolehi.

Sebanyak 48,410 kes jangkitan baharu direkodkan antara 30 Julai -apabila kes melepasi 1,000 kes buat kali pertama – dan 25 Ogos.

Jumlah kes kumulatif setakat 25 Ogos adalah sebanyak 131,030 dengan 33,051 kes yang masih aktif.

Jumlah kes kematian keseluruhan akibat Covid-19 di Sabah adalah sebanyak 975 kes dan bagi tempoh bulan ini sahaja, sebanyak 342 kes direkodkan termasuk 125 kes kematian di luar hospital (BID).

Berbanding Julai, terdapat 89 kes kematian direkodkan dengan 23 kes BID.

Poon turut mengkritik mengenai kurangnya kawalan orang ramai yang bersesak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang membenarkan pemberian secara masuk terus (walk-in).

Katanya, penjarakan sosial tidak diamalkan dan pihak berkuasa tidak “melakukan apa yang diucapkan”

“Mereka tidak mempunyai langkah yang sepatutnya dalam mencegah jangkitan yang berlaku di PPV,” katanya.

Beliau juga berkata kerajaan negeri juga sepatutnya membuka semua perkhidmatan kerajaan dan bukannya terus menutupnya.

“Semua orang ingin mengemaskini bayaran mereka di kaunter kerajaan. Sebagai contoh, penutupan dan pembukaan perkhidmatan untuk memperbaharui semula lesen kenderaan menyebabkan orang ramai bersesak di kaunter bayaran.

“Kunci utamanya ialah menjadualkan temu janji dan mengehadkan bilangan pengunjung setiap hari,” katanya.

Poon turut mengkritik keputusan untuk menggantikan Pengarah Kesihatan Sabah Dr Christina Rundi ketika situasi pandemik sedang memuncak.

“Menukar kapten di tengah-tengah peperangan sepatutnya tidak berlaku. Kerajaan negeri terlalu lemah dalam berurusan dengan pihak berkuasa persekekutuan,” katanya sambil menyatakan pemindahan Rundi sepatutnya dihalang sehingga situasi kembali reda.

Mengenai bekalan vaksin, beliau berkata kerajaan negeri harus bertindak cepat untuk memperoleh stok dari Semenanjung ketika kali pertama dibenarkan berbuat demikian.

“Lihatlah kadar vaksinasi kita, ia adalah paling rendah di Malaysia,” katanya.

Sehingga 24 Ogos, hanya 32.5% populasi dewasa di Sabah telah lengkap dua dos vaksin dan 53.9% telah menerima dos pertama.

Pemimpin pembangkang yang lain sebelum ini membidas kerajaan negeri yang lemah dalam pengurusan pandemik.

Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking memberi amaran bahawa kadar vaksinasi yang rendah dan jangkitan harian yang semakin teruk boleh menjadikan Sabah sebagai negeri paling teruk terjejas di negara ini.

Beliau berkata, Sabah mungkin akan melepasi Selangor dari segi jumlah kes kematian.

Bekas timbalan ketua menteri Christina Liew turut menyuarakan kebimbangan mengenai lonjakan kes jangkitan harian dan berkata kerajaan negeri kelihatan “senyap” ketika kerisauan orang ramai semakin meningkat berhubung krisis ini. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *