Jika Ahli Parlimen UMNO Jadi PM, Wakil Bersatu Sabah Mungkin Kembali Kepada Parti, Kata Penganalisis

Perhatian akan tertumpu kepada Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin (dua dari kiri) sekiranya parti itu kembali berkuasa di peringkat persekutuan, kata penganalisis.

KOTA KINABALU: Penganalisis percaya ramai wakil rakyat daripada Bersatu mungkin kembali kepada Umno selepas Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri menyebabkan parti itu hilang kuasa di peringkat persekutuan.

Oh Ei Sun.

Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berpendapat bahawa Ahli Parlimen daripada Bersatu mahu berbuat demikian dan beranggapan ia akan menggantikan parti itu sebagai teraju kerajaan persekutuan.

“Sejak mula pun, Bersatu tidak pernah mempunyai sokongan akar umbi yang besar. Ia memenangi banyak kerusi kerana angin kencang perubahan Pakatan Harapan (dalam pilihan raya umum lalu),” katanya kepada FMT.

“Kemudian terdapat segelintir wakil Umno (Ahli Parlimen) masuk Bersatu. Oleh kerana itu, jika ia (Bersatu) tidak lagi memegang kuasa, ya, mungkin ramai daripada Ahli Parlimen ini akan kembali kepada Umno apabila beranggapan Umno memegang kuasa.”

Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri sementara selepas meletakkan jawatan pada Isnin bersama seluruh Jemaah Menteri.

Penggantinya masih belum ditentukan dan pelantikan itu adalah hak istimewa Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa di bawah perlembagaan untuk memilih individu yang baginda percaya mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah Romzi Ationg juga percaya Ahli Parlimen daripada Bersatu akan kembali demi kelangsungan mereka dan bagi memastikan terus memperolehi peruntukan pembangunan di kawasan Parlimen masing-masing.

“Tetapi mungkin ada yang tidak melakukannya kerana pelbagai alasan seperti potensi penolakan daripada Umno dan pendapat peribadi mereka terhadap kemungkinan untuk membina kekuatan politik parti.”

Romzi Ationg.

Walaupun Oh percaya langkah sama mungkin berlaku di Sabah apabila Umno adalah sebahagian daripada kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Bersatu, katanya, ia bergantung kepada Pengerusi Umno Negeri Bung Moktar Radin.

“Selepas pertelingkahan awal (antara Bersatu dan Umno) dan pilihan raya negeri, Bung bersikap ‘low profile’ dan tidak cuba menggoncang kepimpinan GRS seperti Umno lakukan di peringkat persekutuan.

“Jadi ia memang bergantung kepada Bung kerana Umno Sabah mempunyai tahap autonomi yang besar dari segi itu. Kelihatan Bung agak berpuas hati dengan apa yang dimiliki sekarang,” katanya.

Namun katanya, pendirian sedemikian boleh berubah sekelip mata sekiranya seseorang daripada Umno dilantik sebagai perdana menteri.

“Dalam hal itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen daripada Bersatu mungkin bertukar kepada Umno dengan sendirinya tanpa diarahkan sesiapa.

“Apabila ramai Adun Umno (di Sabah), mungkin terdapat sentimen dalam akar umbi Umno yang menggesa Bung mengambil langkah itu (untuk kerusi ketua menteri).”

Oh menegaskan, walaupun Bung mungkin tidak mengambil langkah itu, tetapi ADUN Umno lain mungkin berusaha memaksa Ahli Parlimen Kinabatangan itu melakukannya kerana yakin Umno harus memegang kerusi ketua menteri apabila mempunyai perwakilan paling ramai di DUN.

“Sebaik Bersatu hilang kuasa dan hilang kedudukan kepimpinan, saya rasa mungkin parti itu akan berakhir atau berpecah kerana tidak mempunyai sokongan asas yang banyak,” katanya.

Romzi kurang bersetuju dengan pandangan Oh bahawa Bersatu akan berpecah termasuk di Sabah kerana terdapat pemimpin berkebolehan dalam parti itu yang boleh memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungannya.

“Sebenarnya, ramai berharap kerajaan GRS tidak terjejas dengan politik di peringkat persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata, walaupun dalam keadaan Umno mengambil kerusi perdana menteri, situasi di Sabah akan “kekal status quo”.

Awang Azman percaya walaupun segelintir ADUN daripada Bersatu mungkin kembali kepada Umno tetapi tidak timbul sebarang konflik antara dua parti itu di Sabah.

“Hubungan Bersatu-Umno akan kekal harmoni selagi pilihan raya umum belum diadakan,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *