Kenapa Orang Tempatan Dilayan Sama Seperti PTI Untuk Terima Vaksin, Soal Warisan

KOTA KINABALU: Naib Presiden Warisan Junz Wong mempersoal tindakan kerajaan negeri membenarkan penduduk di Sabah menerima vaksin Covid-19 secara ‘walk in’ termasuk golongan bukan warganegara.

Katanya, kemudahan yang diberikan itu menunjukkan rakyat tempatan dilayan sama seperti warga asing walaupun masih ramai dalam kalangan penduduk tempatan belum divaksin.

Naib Presiden Warisan Junz Wong menyifatkan idea ‘walk-in’ sebagai baik tetapi mesti teratur dan dilaksanakan dengan SOP keat untuk mengelak malapetaka.

“Wajarkah PTI (pendatang tanpa izin) menerima layanan yang sama seperti Sabahans, sedangkan orang Sabah sendiri pun ramai yang masih belum divaksin?

“Seeloknya kita fokus pada orang Sabah dulu, kemudian barulah kita menyediakan pelan pelaksanaan yang berbeza untuk PTI,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Junz yang juga Adun Tanjung Aru berkata, kerajaan yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga perlu memikir semula keputusan membenar ‘walk-in’ secara beramai-ramai ke pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh Sabah.

Katanya, kemudahan yang diumumkan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun itu mungkin akan mengundang ‘malapetaka’ di Sabah.

“Adakah GRS bertanya nasihat doktor dan petugas barisan hadapan sebelum membuat keputusan sedemikian?

“Apa pendirian Pengarah Kesihatan Sabah yang baharu, Dr Rose Nani Mudin? Polisi setengah masak sebegini bukan saja tidak bertanggungjawab, malah menghancurkan.

“Pernahkah GRS terfikir tentang apa yang akan berlaku sekiranya dalam beribu-ribu yang ‘walk-in’, salah seorang positif Covid-19?” katanya.

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) dan pelan yang berbeza perlu dibuat untuk proses vaksinasi secara ‘walk in’.

Katanya, antara pelan yang boleh dilakukan ialah mengasingkan PPV yang boleh dan tidak boleh ‘walk in’.

“Ada yang sudah daftar MySejahtera dan mahu ‘walk-in’, golongan ini memerlukan satu set SOP dan begitu juga yang tidak daftar MySejahtera dan mahu ‘walk-in’.

“Saya rasa idea ‘walk-in’ adalah baik, tapi ia perlu teratur dan dilaksanakan dengan SOP yang ketat, kerana kita mahu elak malapetaka berlaku di mana ribuan orang bersesak-sesak di suatu tempat,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *