UMNO Sabah Berpecah Jika Keluar GRS, Kata Penganalisis

Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin masih belum memberi sebarang petanda untuk keluar dari GRS biarpun kemelut antara Umno dan Bersatu semakin buruk di peringkat persekutuan.

KOTA KINABALU: Dua penganalisis menjangkakan Umno Sabah akan berpecah sekiranya kepimpinannya memutuskan untuk menarik diri daripada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya (UM) dan Felo Majlis Profesor Negara Jeniri Amir memberitahu FMT, mereka percaya beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Umno akan memilih untuk kekal dalam kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Umno Sabah dan Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin masih belum memberi sebarang petanda untuk menarik diri daripada GRS biarpun kemelut antara Umno dan Bersatu semakin buruk di peringkat persekutuan.

Sikapnya yang terus berdiam diri tanpa menunjukkan sama ada beliau menyokong atau menentang kerajaan persekutuan PN, menyebabkan khabar angin terus dimainkan.

Umno Sabah mempunyai 16 ahli dalam DUN.

Awang Azman Pawi.

Awang Azman berkata apa yang berlaku di Semenanjung boleh berlaku di Sabah yang menyebabkan senario kebangkitan “Team A lwn Team B” dalam Umno.

“Mungkin terdapat beberapa ADUN itu masih menyokong sekiranya Umno Sabah memilih untuk tidak lagi bersama GRS,” katanya.

“Ini bermakna kerajaan negeri GRS tidak akan tumbang. Saya merasakan ini adalah sebabnya mengapa Bung tidak mengulas situasi politik susulan pengumuman presiden Umno bahawa parti itu menarik sokongan kepada PN.

“Dalam apa jua kes, langkah seterusnya yang dilakukan Umno Sabah amat bergantung dengan keadaan di Semenanjung. Bung mengambil jalan selamat untuk melihat pasukan mana yang berada di atas dalam krisis politik itu,” katanya.

Gabungan GRS mempunyai 48 kerusi termasuk wakil yang dicalonkan dalam 79 kerusi DUN. Sebanyak 16 kerusi milik Umno Sabah, parti PN negeri, Bersatu STAR, SAPP dan PAS mempunyai 25 jumlah kerusi termasuk ADUN bebas mesra PN manakala tujuh dipegang oleh PBS.

Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam mendakwa seramai 31 daripada 42 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong PN dan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Ia masih tidak jelas sama ada Bung, yang sebelum ini kekal dengan ketetapan parti menarik sokongan kepada Muhyiddin, adalah antara Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan.

Jeniri Amir.

Jeniri berkata sekarang mungkin PN Sabah akan cuba meyakinkan beberapa ADUN Umno untuk kekal bagi mengumpul angka mereka.

“Kerajaan negeri hanya akan tumbang sekiranya 16 ADUN menarik diri bersama-sama,” katanya.

“Tetapi saya tidak rasa semua orang akan berbuat demikian. Ia bukan satu perkara mustahil untuk ADUN Umno berpaling tadah. Malah, ia menjadi perkara biasa di Sabah untuk wakil rakyat lompat parti.

“Tetapi di tengah-tengah ketidakstabilan politik, jika mereka lompat ke Bersatu, rakyat pasti terus menganggap mesti terdapat habuan besar di belakangnya,” tambah beliau.

Pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) Lee Kuok Tiung berkata dia tidak merasakan Umno Sabah akan menarik diri daripada GRS.

“Ia baru sahaja mengisytiharkan sokongan dan komitmen terhadap GRS,” katanya.

“Jadi saya percaya ahli Umno tidak mahu terbabit dan serabut memilih antara Team A atau Team B.

“Saya juga percaya Umno Sabah harus menggunakan kuasa autonomi seperti dikatakannya untuk memberi fokus dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat yang memberi kemenangan dalam pilihanraya tahun lalu.”

Lee berkata tidak ada sebarang arahan yang dibuat oleh ibu pejabat Umno supaya peringkat bahagian memutuskan hubungan dengan kerajaan negeri pimpinan PN. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *