Ismail Sabri Dijangka Buat Pengumuman Penting Jam 4 Petang Ini

Ismail Sabri dijangka membuat satu pengumuman khas pada petang Rabu bagi memaklumkan pendirian terkini ahli-ahli Parlimen BN susulan Presiden UMNO mendakwa Muhyiddin kini sudah hilang keabsahan sebagai Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka membuat satu pengumuman penting melalui sidang media khas pada jam 4 petang ini.

Sumber dalaman UMNO berkata, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO difahamkan akan mengumumkan pendirian ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang cenderung menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui sidang media itu.

Bagaimanapun, Sinar Premium dimaklumkan lokasi sidang media akan dimaklumkan kemudian kepada para pengamal media.

Pengumuman itu juga dipercayai sebagai respons kepada kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan surat akuan bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen UMNO yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah pun dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada Selasa.

“Semalam (malam Selasa), Timbalan Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri sendiri sebelum bertemu sebilangan ahli-ahli Parlimen BN di sebuah hotel di Kuala Lumpur bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap kemelut politik yang berlaku.

“Pelbagai opsyen telah dikemukakan dalam dua pertemuan itu dengan Ismail Sabri sendiri akan mengumumkan pendirian terkini ahli-ahli Parlimen BN dalam satu sidang media pada petang ini (Rabu),” kata sumber berkenaan kepada Sinar Premium.

Terdahulu, Ismail Sabri mendakwa sejumlah 40 ahli Parlimen BN sudah bersetuju menyokong Muhyiddin kekal sebagai Perdana Menteri dengan kerajaan PN diberi kepercayaan untuk terus mengemudi negara.

Kenyataan Ismail Sabri itu disokong Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang mengesahkan sekurang-kurangnya 30 ahli Parlimen BN sudah menandatangani surat akuan menyokong Muhyiddin kekal dalam satu pertemuan sulit di Wisma Perwira, Kementerian Pertahanan pada malam Ahad.

Bagaimanapun, sidang media Ahmad Zahid selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Selasa menzahirkan kejutan apabila sekurang-kurangnya 12 ahli Parlimen parti itu disahkan sudah menandatangani SD menarik sokongan daripada Muhyiddin.

Senarai 12 ahli Parlimen UMNO yang disahkan menarik sokongan daripada kerajaan PN adalah diketuai Ahmad Zahid sendiri selaku Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Beliau diikuti Datuk Seri Najib Tun Razak (Pekan); Datuk Seri Azalina Said Othman (Pengerang); Datuk Seri Mohd Nizar Zakaria (Parit); Datuk Seri Azeez Abdul Rahim (Baling); Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang); Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut); Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang); Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian); Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands).

Keputusan itu, dakwa Zahid sudah menunjukkan kepimpinan Muhyiddin hilang majoriti dan keabsahan selaku ketua kerajaan.

Untuk rekod, jumlah keseluruhan ahli Parlimen BN adalah seramai 42 orang dengan 38 daripadanya terdiri ahli Parlimen UMNO.

Sementara itu, Zahidi yang juga ahli MKT UMNO sewaktu ditemui media selepas menghadiri pertemuan ahli-ahli Parlimen BN dengan Ismail Sabri di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada malam Selasa, menegaskan kerajaan masih ‘intact’.

Susulan dua pertemuan penting yang dihadiri Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan pada malam Selasa, terdapat desas-desus mengatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Ahli Parlimen Bera itu diangkat sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Spekulasi itu difahamkan bertiup kencang dalam kalangan pemerhati politik dan dianggap sebagai langkah terakhir bagi menyelamatkan kerajaan PN daripada disahkan tumbang.

Selain itu, Sinar Premium turut dimaklumkan mesyuarat Jemaah Menteri yang dijadualkan berlangsung pada jam 9 pagi Rabu, difahamkan terpaksa ditangguhkan kepada waktu tengah hari.

Hal ini susulan Muhyiddin difahamkan dipanggil untuk hadir ke Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong pada jam 11 pagi. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *