Sabah Tumpu Vaksinasi, Ketatkan SOP

KOTA KINABALU: Sabah akan mempergiatkan lagi usaha pemberian vaksin untuk mencapai imuniti kelompok secepat mungkin dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) secara berkesan bagi menurunkan kadar jangkitan COVID-19 di negeri ini.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata hanya dua pendekatan itu dilihat dapat mengekang penularan COVID-19 yang sudah merebak dalam masyarakat dan terus menunjukkan peningkatan kes baharu setiap hari.

Beliau mengakui, kawalan pergerakan atau ‘lockdown’ yang dikenakan terhadap penduduk negeri ini tidak lagi mampu mengatasi penularan COVID-19 seperti ketika mula-mula kaedah itu dilaksanakan sebelum ini, malah rakyat juga sudah lesu akibat ‘terkurung’ begitu lama.

“Kapasiti Jabatan Kesihatan Negeri Sabah untuk memberi vaksin sudah sampai ke tahap 50,000 dos sehari dan akan ditingkatkan lagi hingga 60,000 dos sehari bergantung kepada stok vaksin.

“Vaksinasi memberi kita ‘kekebalan’ daripada jangkitan virus sehingga 90 peratus. Kita masih boleh dijangkiti tetapi kesannya ringan dan tidak memerlukan rawatan hingga masuk ke hospital. Ia tidak mengancam nyawa.

“Apa yang perlu ialah bekalan vaksin yang cukup dan jadual penghantaran yang tidak terganggu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Masidi berkata, disebabkan COVID-19 sudah berada dalam komuniti, ia semakin mudah merebak dan menjangkiti ramai orang seperti dibuktikan melalui saringan besar-besaran Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, semakin banyak saringan dibuat, semakin banyak kes positif baharu yang ditemui, berbeza dengan jangkitan bersifat tempatan sebelum ini yang jumlahnya tidak banyak.

“Kontak rapat sudah menjadi kumpulan tertinggi kes harian dengan 60 peratus pada 30 Julai. Kontak rapat ini pula ada jaringan kawan-kawan mereka sendiri. Mereka mungkin sudah menjangkiti kawan mereka yang lain pula dan mengakibatkan kes harian berganda.

“Apabila virus COVID-19 sudah berada dalam komuniti, ‘lockdown’ bukan lagi kaedah yang berkesan untuk mengekang penularan. Setiap daripada kita secara tidak sedar berkemungkinan sudah menjadi pembawa virus, tidak kira kita sudah divaksin atau belum,” katanya.

Pada masa sama, katanya ‘lockdown’ atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara berterusan hampir melumpuhkan ekonomi dan menyebabkan banyak syarikat gulung tikar atau rugi besar.

Akibatnya, beliau berkata ramai penduduk hilang punca pendapatan dan sekarang bergantung kepada bantuan kerajaan, namun kemampuan kerajaan untuk terus memberi bantuan dan subsidi sudah terhad.

Semalam, Sabah merekodkan kes positif baharu COVID-19 tertinggi setakat Januari hingga Julai tahun ini iaitu sebanyak 1,066 kes dengan 640 kes terdiri daripada kontak rapat. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *