Pemandu Teksi Airport Pengsan Selepas Rempuh 3 Kenderaaan, Kini Dirawat Akibat Darah Tinggi

Kenderaan dipandu suspek merempuh kenderaan lain di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsan Kota Kinabalu (KKIA).

KOTA KINABALU: Polis belum menahan pemandu teksi yang mengamuk lalu merempuh tiga kenderaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) semalam kerana suspek sedang dirawat di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu akibat tekanan darah tinggi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, George Abd Rakman berkata, siasatan awal mendapati lelaki berusia 60 tahun itu mengamuk kerana gagal menahan perasaan marah dan turut pengsan selepas melanggar tiga kenderaan lain.

Pemandu yang merempuh tiga kenderaan terbaring di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsan Kota Kinabalu (KKIA).

“Difahamkan, ini bukan kali pertama suspek berang selepas mendapati gilirannya mengambil penumpang dipotong rakan pemandu lain.

“Namun, (potong barisan berlaku) disebabkan sikap pemandu itu sendiri yang meninggalkan kereta di barisan menunggu. Pemandu lain terpaksa memotong bagi mengelakkan penumpang tertunggu-tunggu,” katanya dipetik Berita Harian.

Suspek dikatakan sering meninggalkan teksinya di barisan menunggu dan tidak berada di kawasan KKIA menyebabkan pemandu lain terpaksa memotong barisan untuk mengambil penumpang.

George berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tiada mangsa yang cedera dalam rempuhan semalam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin menghubungi Pengerusi Persatuan Teksi dan Limosin KKIA, Shamsuddin Mohd Shah bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Katanya, pemandu teksi berdepan pelbagai cabaran dan tekanan, selain kesan pandemik yang menyebabkan pendapatan mereka terjejas teruk.

“Mereka berdepan saingan sengit daripada industri e-panggilan yang menggunakan teknologi baharu sebagai platformnya, termasuk menawarkan perkhidmatan berkualiti lebih baik pada harga rendah.

“Dengan ketibaan pelancong yang merosot sejak dua tahun lalu, kebanyakan pemandu teksi di lapangan terbang sekadar menunggu sepanjang hari untuk meraih kira-kira RM10 sehari.”

Chan kemudian mengedarkan 180 bakul makanan kepada pemandu teksi di KKIA. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *