Pesakit Malaria Cetus Kluster Kilang Balak Di Tongod

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Seorang pekerja kilang pemprosesan kayu balak yang dimasukkan ke hospital kerana malaria mencetuskan kluster baharu COVID-19 di daerah Tongod selepas turut disahkan positif COVID-19, baru-baru ini.

Kluster dikenali sebagai Kluster Balak Penangah itu adalah antara empat kluster tempat kerja dilaporkan di Sabah, semalam, masing-masing membabitkan kilang kayu balak, kilang papan, syarikat pembinaan dan ladang penternakan ayam.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata Kluster Balak Penangah dilaporkan di Mukim Penangah, Tongod tercetus selepas seorang pemandu jentera berat dimasukkan ke Hospital Keningau kerana positif malaria pada 6 Julai lalu.

Katanya, lelaki berumur 47 tahun itu turut disahkan positif COVID-19 melalui saringan pra kemasukan ke wad pada hari yang sama.

“Saringan kontak rapat seterusnya mendapati seramai 25 orang lagi positif COVID-19 di tempat kerja. Aktiviti siasatan, persampelan COVID-19 dan disinfeksi masih giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sementara itu, Masidi berkata seorang pekerja pembinaan mencetuskan kluster baharu membabitkan penularan di tiga daerah iaitu Sandakan, Putatan dan Penampang.

Katanya, lelaki berumur 22 tahun itu yang bekerja di sebuah syarikat pembinaan di Sandakan, dikesan positif COVID-19 pada 28 Jun lalu selepas bergejala demam, sakit badan, muntah dan cirit-birit sejak 25 Jun lalu.

“Kes indeks bagi Kluster Grandview itu didaftarkan di daerah Putatan. Hasil saringan kontak rapat dan kontak sosial mendapati dua kes positif di Sandakan, namun didaftarkan di Putatan dan Penampang.

“Di Sandakan, daripada 54 orang yang disaring, seramai 13 orang dikesan positif termasuk satu kes baharu hari ini (semalam) menjadikan kumulatif sebanyak 15 kes, manakala 32 orang didapati negatif dan sembilan lagi masih menunggu keputusan saringan,” katanya.

Di Tawau, Masidi berkata, Kluster Jalan Membalua yang dilaporkan semalam tercetus selepas kes indeks iaitu seorang lelaki bukan warganegara berumur 24 tahun dikesan positif COVID-19 beberapa hari lalu.

Katanya, kes indeks itu bekerja sebagai buruh kasar di ladang penternakan ayam dekat Jalan Membalua, Tawau. Dia dikatakan tinggal bersama keluarga dan lebih 50 pekerja serta ahli keluarga masing-masing dalam kuarters pekerja.

“Berikutan penemuan kes positif itu, saringan kontak rapat mendapati semua 12 ahli keluarga kes indeks didapati positif COVID-19 pada 8 Julai lalu, menjadikan jumlah kumulatif kes positif kluster ini sebanyak 13 kes,” katanya.

Satu lagi kluster yang dilaporkan semalam, katanya iaitu Kluster KKIP Empat Timur membabitkan penularan COVID-19 di dua kilang papan, masing-masing di Jalan Tuaran Telipok dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

Secara keseluruhan, Sabah merekodkan sebanyak 251 kes baharu COVID-19 semalam, tiada kes kematian dilaporkan, manakala seramai 137 pesakit sembuh.

Setakat semalam, penggunaan katil untuk pesakit COVID-19 di Sabah mencecah 46.05 peratus daripada 4,215 unit katil yang disediakan di seluruh negeri. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *