PGA Sabah Rampas Barangan Bernilai RM18.9 Juta, 277 Ditahan

KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah menahan 277 individu dan merampas pelbagai jenis barangan bernilai RM18.9 juta sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, kejayaan itu membabitkan 97 kes yang dikesan menerusi tiga operasi iaitu Op Kontraban, Op Benteng dan Op Khazanah.

Katanya, semua operasi berkenaan dijalankan di seluruh negeri ini hasil risikan dan maklumat diterima daripada orang awam.

“Bagi tangkapan individu, ia membabitkan kesalahan mengikut Akta Imigresen iaitu sebanyak 127 orang, Akta Dadah (80 orang), Akta Kastam (40 orang), Akta Barang Kawalan (21 orang), Akta Racun (empat orang), Akta Hidupan Liar (tiga orang), Akta Perhutanan (dua orang) dan Akta Senjatapi (satu orang).

“Tangkapan paling ramai berjaya dilakukan di Daerah Tawau membabitkan 154 individu diikuti Daerah Beluran iaitu seramai 78 orang,” katanya pada sidang media dijalankan di Dewan Latihan Briged Sabah PGA Kinarut, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Komander Asisten Komisioner Toipi Lamat.

Mohd Abduh berkata, kejayaan enam bulan pertama tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding sepanjang tahun lalu iaitu sebanyak 148 kes dan 412 tangkapan serta RM12.2 juta rampasan.

Katanya, usaha pemantauan dan risikan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada sebarang kegiatan jenayah dilakukan di kawasan perairan dan sempadan negeri ini.

“Kumpulan penjenayah sempadan dipercayai cuba mengambil kesempatan ketika penularan pandemik Covid-19 untuk menjalankan kegiatan mereka.

“Namun penguatkuasaan undang-undang membabitkan lima batalion iaitu Batalion (BN) 14 PGA Tawau, BN 15 PGA Sandakan, BN 16 PGA Kota Kinabalu, BN 17 PGA Lahad Datu dan BN 18 PGA Beluran akan terus dilaksanakan,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *