Kenapa Campur Tangan, Biar Sabah Tetap SOP Sendiri, Kata SEAC

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menerima sokongan terbaru daripada Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC) berhubung kelonggaran sekatan makan di restoran dan kedai di negeri itu.

Pengerusinya, David Chu mempersoalkan keengganan Putrajaya mengenai perkara itu dengan mengatakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) selama ini membenarkan Sabah mengeluarkan kenyataan harian berhubung prosedur operasi standard (SOP).

“Tindakan menariknya semula adalah tidak masuk akal.

“Sabah mampu mengawal pandemik dengan lebih baik berbanding kebanyakan negeri di Semenanjung bagi setiap 1,000 populasi dan lebih baik lagi bagi setiap kilometer persegi.

“Ia tidak logik atau masuk akal dari segi ekonomi untuk menyamakan Sabah dengan negeri lain yang mempunyai bilangan kes lebih besar,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengerusi SEAC David Chu.

Chu berkata, apabila Sabah dikenakan perintah kawalan prgerakan (PKP) kerana jangkitan kes yang tinggi, MKN tidak melaksanakan sekatan seperti itu di Semenjanjung.

Oleh itu katanya, kenyataan Hajiji yang membenarkan makan di restoran dan kedai serta pelbagai aktiviti ekonomi lain adalah untuk membantu pemulihan ekonomi negara daripada Covid-19 yang menjadi objektif utama kerajaan.

“SEAC ingin meminta kerajaan menerapkan dasar pragmatik bagi membolehkan Sabah terus mengeluarkan SOP sendiri.

“Pemimpin kerajaan Sabah lebih tahu mengenai keadaan di negeri ini berbanding pemimpin di peringkat kerajaan persekutuan.

“Untuk bersikap adil, kerajaan persekutuan tidak sepatutnya mengenakan sekatan yang keterlaluan terhadap mana-mana negeri yang mencatatkan penurunan kes dan berada pada tahap yang boleh diterima.

“Campur tangan berlebihan dan tidak diperlukan ini boleh menyebabkan keadaan menjadi tidak produktif. Biar rakyat Sabah sendiri menguruskan SOP bagi mencapai pemulihan ekonomi lebih cepat,” kata Chu.

Hajiji pada Isnin mengumumkan beberapa aktiviti sosial dan ekonomi akan dibenarkan termasuk makan di restoran dan kedai makan serta hotel manakala salun rambut dan peniaga sayur, ikan dan buah-buahan boleh berniaga semula.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob kemudiannya mengingatkan semua negeri perlu patuh kepada peraturan ditetapkan MKN ketika negara masih lagi melaksanakan PKP.

Selepas itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun berkata, mereka sudah menghantar SOP baharu untuk Fasa 1 di bawah PKP baru menerusi Pelan Pemulihan Negara kepada kerajaan persekutuan.

Kerajaan negeri masih lagi menunggu untuk SOP itu digazetkan.

Semalam, pemimpin Gabungan Rakyat Sabah termasuk Timbalan Ketua Menteri Bung Moktar Radin dan Jeffrey Kitingan turut menyokong Hajiji berhubung isu itu. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *