Sabah Yakin Capai Sasaran 30,000 Divaksin Setiap Hari

Hajiji (tengah) bersama beberapa menteri Kabinet negeri menghadiri majlis pelancaran Kempen Sifar Pandemik Covid-19 Sabah, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), hari ini. (Gambar JKM)

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah yakin dapat memberikan vaksin COVID-19 kepada 30,000 individu sehari mulai bulan depan bagi memastikan negeri ini mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata Sabah boleh mencapai imuniti kelompok apabila 2.9 juta penduduk negeri ini menerima suntikan vaksin COVID-19.

Beliau berkata, pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV), termasuk dengan bantuan sektor swasta dan program bergerak Jabatan Kesihatan di kawasan luar bandar diyakini dapat membantu mencapai sasaran itu.

Katanya, beliau sudah mengarahkan semua Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) di seluruh negeri untuk menggerakkan proses pendaftaran penerima vaksin secara agresif di semua daerah.

“Dengan pembukaan lebih banyak PPV, ditambah dengan bantuan daripada sektor swasta dan program bergerak Jabatan Kesihatan di kawasan luar bandar, kita dapat mencapai sasaran itu,” katanya ketika melancarkan Kempen Sifar Pandemik COVID-19 di Sabah, di sini, hari ini.

Majlis pelancaran secara maya itu turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmy Yahya; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi.

Selasa lalu, Hajiji mengumumkan sebanyak 16 PPV baharu dibuka di seluruh negeri pada bulan ini sebagai tambahan kepada 95 PPV sedia ada bagi menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang mula diperluas kepada penduduk Sabah berumur 18 tahun ke atas.

Daripada 95 PPV terbabit, sebanyak 72 adalah fasiliti kesihatan, manakala 23 lagi adalah PPV awam yang beroperasi di seluruh negeri.

Sehubungan itu, Hajiji meminta rakyat negeri ini supaya memahami kepentingan mendaftar bagi mendapat suntikan vaksin menerusi pelbagai platform yang disediakan kerajaan.

Setakat semalam, katanya, seramai 326,556 orang di Sabah termasuk anggota tentera sudah menerima dos pertama dalam fasa pertama dan kedua PICK.

Hajiji berkata, program imunisasi yang kini memasuki fasa ketiga juga memfokuskan kepada sektor pembuatan melalui Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) dengan anggaran membabitkan seramai 10,000 pekerja di Sabah.

Katanya, pemberian vaksin menerusi PIKAS dilaksanakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dengan kapasiti 1,500 pekerja sehari mulai bulan depan.

Hajiji berkata, kerajaan negeri akan memastikan bekalan vaksin seperti Pfizer BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca mencukupi untuk rakyat negeri ini, selain memberi jaminan lebih banyak bekalan vaksin akan tiba mulai Julai ini.

Mengenai kempen sifar kes COVID-19, beliau berkata sasaran itu tidak mustahil dicapai menerusi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, selain usaha mempercepat proses pemberian vaksin.

“Kempen Sifar Pandemik COVID-19 adalah inisiatif bersama antara kerajaan negeri dan Kementerian Kesihatan yang bertujuan mewujudkan penanda aras baharu bagi masyarakat di negeri ini dan pentingnya mencapai angka sifar kes harian,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *