Jambatan Kayu Runtuh, Ribuan Penduduk Di Kampung Long Pasia, Long Mio Terkandas

Laluan keluar masuk di Kampung Long Pasia dan Long Mio terputus selepas salah sebuah jambatan runtuh akibat hujan lebat Sabtu lalu.

KOTA KINABALU: Lebih 1,000 penduduk di Kampung Long Pasia dan Long Mio di Sipitang terkandas selepas sebuah jambatan kayu yang merupakan satu-satunya laluan keluar, runtuh baru-baru ini.

Keadaan itu menyebabkan penduduk di dua kampung berkenaan tidak dapat keluar ke pekan Sipitang bagi mendapatkan bekalan keperluan harian atau ke Hospital Sipitang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan setiap minggu.

Sebuah lagi jambatan di Kampung Long Pasia dan Long Mio yang dikatakan ‘nyawa-nyawa ikan’ kerana juga hampir runtuh.

Jarak Kampung Long Pasia dan Long Mio dari pekan Sipitang adalah kira-kira 128km.

Wakil penduduk kampung itu Andrew Laban berkata, jambatan itu runtuh malam Sabtu lalu akibat hujan lebat menyebabkan hubungan dan talian komunikasi dua kampung terbabit dengan pekan Sipitang turut terputus.

“Talian telefon di sini bergantung kepada menara telekomunikasi, namun ia perlukan penjana kuasa untuk memastikan ia beroperasi 24 jam setiap hari. Kerosakan jambatan terbabit mengakibatkan bekalan diesel untuk penjana kuasa menara berkenaan tidak dapat dihantar.

“Lebih merisaukan penduduk di sana ialah sekiranya berlaku kecemasan, lebih-lebih lagi ada beberapa penduduk yang perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dua kali seminggu kerana penyakit yang dihidapi mereka,” katanya kepada FMT.

Andrew berkata, jalan itu diselia oleh Forest Industries Sdn Bhd (SFI), sebelum ia menghentikan operasi di sekitar kawasan berkenaan.

“Saya difahamkan jalan itu kini diselia oleh sebuah lagi syarikat dengan kuasa itu diberikan kepada mereka baru-baru ini.

“Di sepanjang jalan ini, ada lima jambatan kayu seperti yang runtuh itu dan salah sebuah daripadanya kini juga ‘nyawa-nyawa ikan’. Kalau jambatan itu pun runtuh, maka ia satu malapetaka kepada penduduk kampung jika tiada tindakan segera diambil.

“Jambatan yang hampir runtuh itu terletak kira-kira 20km dari yang telah runtuh, bayangkan jika itu pun runtuh, berapa jauh penduduk kampung perlu berjalan kaki sekiranya berlaku kecemasan?”

Sebuah lagi jambatan di Kampung Long Pasia dan Long Mio yang dikatakan ‘nyawa-nyawa ikan’ kerana juga hampir runtuh.

Sehubungan itu, Andrew memohon pihak berwajib supaya segera bertindak menyelesaikan masalah itu kerana bekalan keperluan harian, termasuk makanan dan minuman yang dijual di kampung terbabit lama-kelamaan akan kehabisan.

“Kalau boleh baiki segera dan kami juga berharap kerajaan akan membantu dengan mengeluarkan peruntukan untuk membina jambatan lebih kukuh, walaupun hanya untuk kenderaan kecil.” – FMT

Laluan keluar masuk di Kampung Long Pasia dan Long Mio terputus selepas salah sebuah jambatan runtuh akibat hujan lebat Sabtu lalu.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *