‘Warisan Boleh Jadi Kerajaan Bila-Bila Masa Jika Pilih Bersama PN’

Darell Leiking dan Azis Jamman

KOTA KINABALU : Parti Warisan Sabah (Warisan) bila-bila masa saja boleh memerintah jika parti itu memilih untuk bersama-sama dengan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Wira Warisan, Datuk Azis Jamman bagaimanapun mendakwa bahawa parti itu tidak memilih untuk bekerjasama dengan PN berikutan kesukaran Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menunaikan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dituntut Warisan.

“Bila kita sentuh tentang perpaduan rakyat Sabah, kita digelar kemaruk kuasa dan saya ingin sangkal kenyataan itu. Bagi mereka yang menuduh kita kemaruk kuasa, kita boleh memilih untuk berkuasa, bila-bila masa saja.

“Saya ingin nyatakan kepada penyokong Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), kalau Warisan di awal sebelum penubuhan kerajaan PN memilih untuk bersama Muhyiddin dengan jumlah ahli Parlimen pada masa itu, saya pasti Muhyiddin tidak akan tengok Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (Presiden STAR) kerana dia ada satu kerusi saja,” katanya ketika menjadi panel jemputan dalam satu bual bicara yang dibuat secara langsung di Facebook pada malam Selasa.

Namun beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, Warisan tidak memilih untuk bekerjasama dengan PN kerana mereka bukan mahukan kedudukan tetapi ia berkaitan isu tuntutan Sabah.

“Saya ingin menyatakan hari ini, sewaktu penubuhan PN, kita telah nyatakan kepada Muhyiddin bahawa apa yang Mohd Shafie mahukan bukan pangkat tetapi isu tuntutan terhadap Sabah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking turut menyatakan bahawa Warisan memang boleh menjadi kerajaan bagaimanapun dalam masa yang sama beliau menegaskan bahawa mereka bukan untuk dijual.

“Ya betul (Warisan boleh menjadi kerajaan pada bila-bila masa) hanya Muhyiddin yang tahu apa yang telah dibincangkan dengan Mohd Shafie.

“Jadi kita telah membuat satu pendirian bahawa ‘we not are for sale’ (kita bukan untuk dijual). Ada banyak andaian bahawa ini (wakil rakyat) akan lompat, tetapi rakyat akan menghukum yang lompat.

“Kita tahu bahawa kita dipilih atas janji untuk menyatukan dan menjaga Sabah daripada penjajah yang sudah lama kita nampak dari segi penjajahan melalui minda,” katanya. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *