Polis Tahan Lelaki Bergurau Bawa Bom Di Lapangan Terbang Tawau

Unit pemusnah bom dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau diarahkan ke lokasi kejadian untuk memusnahkan beg tersebut di kawasan lapang. – Foto PDRM

TAWAU: Tindakan seorang lelaki yang bergurau kononnya membawa bom dalam beg galasnya, membawa padah apabila dia ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Tawau (LTT) pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas berkata, dalam kejadian pada jam 8.20 pagi, keadaan menjadi cemas apabila lelaki berumur 30 tahun itu mengatakan membawa bom, apabila ditanya ketika melalui pintu masuk pendaftaran penerbangan di lapangan tersebut.

“Kita menerima laporan ataupun aduan daripada petugas di kaunter Lapangan Terbang Tawau menyatakan seorang lelaki mengugut dengan bercakap terdapat bom di beg galasnya.

“Apabila diminta oleh pekerja dis ana untuk bertanya apakah kandungan begnya, dia menjawab ‘bom’, maka dengan itu petugas tersebut rasa takut, cemas dan meminta bantuan pengawal keselamatan di sana,” katanya dalam satu sidang media di sini.

Katanya, lelaki tersebut ditahan sejurus selepas itu dan unit pemusnah bom dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau diarahkan ke lokasi kejadian untuk memusnahkan beg tersebut di kawasan lapang.

Namun setelah diperiksa, didapati beg tersebut tidak mengandungi bahan letupan kerana ia merupakan satu gurauan daripada lelaki tersebut.

Bagaimanapun, polis memandang serius ancaman bom itu dan lelaki tersebut ditahan untuk siasatan awal dan dibebaskan dengan jaminan polis pada Jumaat sementara menunggu siasatan selesai mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Peter menasihati masyarakat agar tidak membuat gurauan sedemikian ketika berada di lapangan terbang kerana akan mengganggu ketenteraman awam.

“Nasihat saya kepada orang ramai, jangan bergurau berlebih-lebih, khasnya penggunaan bom apabila di lapangan terbang ataupun apabila kita mahu menaiki pesawat.

“Ini bukan kes pertama di Malaysia atau di Sabah, jadi sebagai panduan orang ramai saya sekali lagi memohon kerjasama jangan membuat sebarang kenyataan yang tidak diingini sebab akan mencemaskan dan mengganggu gugat ketenteraman awam,” tegasnya

Menurut Peter, suspek berkenaan merupakan seorang lelaki berumur 30 tahun dan bekera sebagai polis bantuan di sebuah syarikat di Kuala Lumpur.

Dia dikatakan dalam perjalanan dari Semporna, Sabah dan hendak pulang ke Kuala Lumpur bersama isteri dan dua anaknya sebelum ditahan di pintu pemeriksaan berikutan kejadian tersebut. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *