Sabah Nafi Dakwaan Vaksin Tidak Diguna Akan Dibuang

Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Christina Rundi, berkata pada 18 Mac, seramai 267,386 rakyat Sabah telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin, iaitu 9.1% daripada populasi negeri.

KOTA KINABALU: Pengarah Kesihatan Sabah Dr Christina Rundi menafikan khabar angin, termasuk yang disiarkan sebuah portal berita, mendakwa vaksin Covid-19 yang tidak digunakan akan dibuang.

Katanya, vaksin disediakan berdasarkan bilangan penerima sehari bagi mengelak pembaziran.

Beliau memaklumkan, setakat ini terdapat dua jenis vaksin yang digunakan bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Sabah, iaitu Cominarty keluaran Pfizer dan Coronavac keluaran Sinovac.

“Pengurusan rantaian sejuk bagi vaksin-vaksin ini perlu efektif dan ketat daripada penghasilan sehinggalah pemberian kepada penerima,” katanya dalam kenyataan.

“Vaksin perlu disimpan pada suhu yang ditetapkan serta hanya dikeluarkan daripada ‘coolbox’ apabila hendak diberikan kepada penerima bagi memastikan tiada pembaziran.

“Bilangan vaksin yang disediakan adalah berdasarkan bilangan penerima pada hari tersebut.”

Sementara itu Christina berkata, fasa pertama PICK di Sabah membabitkan petugas barisan hadapan, dan dalam tempoh 4 Mac hingga 18 April, sejumlah 94,953 dos telah diberikan.

Seramai 52,775 individu telah menerima dos pertama dan daripada jumlah itu, 42,178 telah menerima kedua-dua dos, kata beliau.

”Setakat 18 Mei, jumlah kumulatif dos yang telah diberikan adalah 151,063, di mana seramai 92,694 rakyat Sabah telah menerima dos pertama, dan daripada jumlah itu, 58,369 telah menerima kedua-dua dos,” kata beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, oleh kerana pemberian vaksin adalah berfasa, ada di antara pendaftar awal tidak dipanggil kerana tidak tergolong dalam kategori yang sepatutnya menerima vaksin dalam fasa pertama.

Katanya, pada 18 Mac, seramai 267,386 rakyat Sabah telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin, iaitu 9.1% daripada populasi negeri.

Menjelang 18 April, katanya jumlah itu meningkat kepada 425,143, atau 14.6%.

Sebulan kemudian, seramai 495,294, atau 16.2%, rakyat Sabah telah mendaftar, tambah beliau.

“Prestasi pendaftaran adalah berbeza mengikut daerah kerana faktor-faktor tertentu. Sebagai contoh, pendaftaran daerah yang tertinggi setakat 18 Mei adalah Putatan, iaitu 42.1%, manakala yang terendah adalah Kinabatangan dengan 5.48%.

“Sementara itu, bagi Kota Kinabalu pula, seramai 105,243 individu telah mendaftar, iaitu bersamaan 24.96% penduduk daerah itu,” kata beliau.

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata bulan lalu, Sabah akan menggunakan dialek tempatan bagi memperhebatkan usaha menarik minat rakyat negeri itu mendaftar dalam PICK.

Beliau berkata, pegawai Jabatan Penerangan memasuki kampung di kawasan pedalaman dan luar bandar Sabah untuk memberi penjelasan mengenai vaksin dalam pelbagai bahasa kepada penduduknya.

“Kalau mereka masuk ke Kampung Dusun mereka gunakan bahasa Dusun dan di kampung Bajau, mereka gunakan bahasa Bajau Samah,” kata beliau.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *