Pengusaha Pelancongan Komuniti Sabah Perlu Bantuan Modal

Presiden Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA), Walter Kandayon.

KOTA KINABALU: Pengusaha pelancongan berasaskan komuniti di Sabah memerlukan sokongan modal pusingan untuk membantu memulihkan aktiviti selepas setahun terjejas akibat pandemik COVID-19.

Presiden Gabungan Persatuan Pelancongan Luar Bandar Sabah, Walter Kandayon, berkata kebanyakan pengusaha yang terdiri daripada penduduk kampung memerlukan suntikan dana bagi membuka semula operasi masing-masing.

Katanya, selama setahun pengusaha aktiviti pelancongan berasaskan komuniti tiada pendapatan kerana pusat pelancongan yang diusahakan terpaksa ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Berdasarkan perkembangan situasi COVID-19 ketika ini, kami lihat tidak lama lagi aktiviti pelancongan berasaskan komuniti yang diusahakan penduduk luar bandar sudah boleh dibuka semula, malah sudah ada yang mula buka.

“Namun, ramai yang berdepan masalah pusingan modal bagi memulakan operasi kerana selama setahun lalu tiada hasil dapat dikutip untuk membiayai operasi masing-masing,” katanya kepada BH, hari ini.

Bagaimanapun, Walter yang juga Presiden Persatuan Pelancongan Kadamaian, Kota Belud (KATA), berkata pihaknya menghargai bantuan dalam bentuk projek infrastruktur pelancongan luar bandar yang disediakan kerajaan negeri sebelum ini.

Inisiatif untuk membantu pengusaha pelancongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 itu, katanya menyediakan peruntukan sehingga RM20,000 bagi setiap pengusaha untuk melaksanakan projek infrastruktur masing-masing.

“Kerajaan negeri ada menyediakan bantuan bernilai RM20,000 dalam bentuk projek untuk membaiki kemudahan infrastruktur pelancongan. Pengusaha hanya perlu memohon apa kemudahan yang perlu dibaiki di tempat mereka.

“Selepas itu kerajaan memberikan surat tawaran mengikut spesifikasi yang diluluskan dan apabila projek sudah siap pengusaha boleh menuntut peruntukan yang ditawarkan itu,” katanya.

Bagi pusat pelancongan berasaskan komuniti di Kota Belud, katanya, seramai 83 pengusaha diberikan tawaran berkenaan setakat ini dengan peruntukan maksimum RM20,000.

Katanya, peruntukan itu dikhususkan untuk membaiki atau membina kemudahan seperti tandas dan lain-lain kemudahan yang diperlukan pusat pelancongan untuk memberi keselesaan kepada pengunjung.

Sementara itu, katanya, pihaknya turut berharap kerajaan Pusat melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dapat memberi pertimbangan untuk menyalurkan bantuan kepada pengusaha pelancongan berasaskan komuniti di negeri ini.

“Setakat ini pengusaha pelancongan berasaskan komuniti tidak menerima bantuan kerana tidak berdaftar dengan kementerian itu. Kami hanya berdaftar dengan Lembaga Pelancongan Sabah (STB).

“Namun, dalam situasi pandemik sekarang yang mana semua pengusaha terjejas, kita berharap kementerian berkenaan dapat memberi kelonggaran kepada pengusaha memohon bantuan yang bersesuaian,” katanya.

Pelancongan berasaskan komuniti yang diusahakan penduduk luar bandar Sabah kebanyakannya menawarkan aktiviti percutian seperti riadah di kawasan tanah tinggi, pantai, sungai dan sawah padi sambil menyelami budaya masyarakat setempat selain aktiviti lasak seperti mendaki bukit dan menyusuri hutan. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *