Warga Filipina Ditahan, Gagal Seludup 3,000 Telur Penyu

Lelaki Filipina ditahan ketika cuba seludup telur penyu dari Pulau Taganak Filipina ke Sandakan. – Gambar Ihsan PGA

SANDAKAN: Seorang lelaki Filipina diberkas Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika cuba menyeludup masuk kira-kira 3,000 telur penyu di perairan Nunuyan Darat, Batu 3, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, suspek berusia 31 tahun juga disyaki memilih masa solat tarawih untuk menyusup masuk ke negara ini.

Pegawai Memerintah, PGA Batalion 15 Sandakan, Superintendan Toipi Lamat berkata, sebelum kejadian, sepasukan anggota Platun Tiger diketuai Inspektor Mohammad Halil Husairy Hussain sedang menjalankan rondaan laut sempena Op Benteng.

Menurutnya, sebuah bot pam yang sedang bergerak laju menuju ke Kampung Nunuyan Darat kemudiannya berjaya dikesan.

“Anggota PGA bertugas kemudiannya memintas dan mengarahkan bot berkenaan untuk berhenti.

“Namun, juragan lelaki enggan berhenti lalu bot itu dikejar .

“Bot suspek berjaya dipintas lalu pemeriksaan dijalankan. Namun, suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah sebaik diminta,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan dalam bot suspek menemukan enam guni telur penyu di bahagian depan bot dan berisi 3,000 telur penyu. .

“Lelaki itu juga disyaki membuang sejumlah telur penyu ke laut.

“Hasil siasatan mendapati, suspek cuba menyeludup telur penyu itu dari Pulau Taganak, Filipina untuk pasaran di bandar Sandakan,” katanya.

Katanya, penyeludup itu turut memilih masa solat tarawih kerana menyangkakan tiada anggota keselamatan bertugas pada masa tersebut.

“Justeru, suspek diberkas dan telur penyu serta bot bernilai RM10,000 dirampas untuk tindakan lanjut.

“Siasatan diteruskan mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1061