Tiada Bazar Ramadan Di Seluruh Sabah Satu Keputusan Tepat

Ia antara langkah kawalan terbaik bagi membendung penularan COVID-19 dalam kalangan masyarakat terutamanya dalam kelompok masyarakat yang tahap pematuhan SOPnya masih rendah.

Kita sedia maklum bahawa kerajaan telah memutuskan untuk membenarkan pembukaan bazar Ramadan dan Aidilfitri, selain aktiviti solat tarawih di surau serta masjid pada tahun ini selepas kesemua aktiviti berkenaan dilarang pada tahun lalu.

Keputusan tersebut dicapai setelah mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mesyuarat harian Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan berita gembira tersebut telah diumumkan oleh Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media harian beliau pada 16 Mac yang lalu.

Kebenaran pembukaan bazar Ramadan dan Aidilfitri diberikan berikutan penurunan kes harian COVID-19 pada waktu itu dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan perlu dipatuhi semua pihak yang terlibat bagi mengekang penularan wabak tersebut.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam pada itu telah menggariskan beberapa SOP kepada peniaga bazar berkenaan antara lain termasuklah pemilihan lokasi mestilah dibuat di kawasan terbuka, laluan masuk dan keluar yang berbeza atau sehala dan kawalan jumlah pengunjung.

Selain itu, penganjur juga perlu memastikan pematuhan terhadap SOP tetap yang telah lama dilaksanakan seperti pemeriksaan suhu dan pendaftaran pengunjung melalui aplikasi MySejahtera di tempat masuk, pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter, serta kawalan keluar masuk pelanggan.

Waktu operasi juga ditetapkan bermula jam 3 petang sehingga 8 malam sahaja bagi bazar Ramadan, manakala tempoh bazar Aidilfitri pula seawal jam 10 pagi hingga 12 tengah malam.

Namun demikian, kerajaan Negeri Sabah pada 7 April telah mengambil ketetapan yang berbeza iaitu tidak membenarkan aktiviti bazar Ramadan dijalankan di negeri tersebut pada tahun ini, menerusi kenyataan media Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Keputusan tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat khususnya golongan peniaga yang menganggap ianya seolah-olah menutup pintu rezeki mereka untuk meraih sedikit keuntungan dalam peluang perniagaan yang datang setahun sekali ini, selain bagi meredakan pendapatan mereka yang terjejas teruk akibat penularan pandemik COVID-19 sejak setahun yang lalu.

Biarpun begitu, pada hemat saya, ketetapan yang telah diambil oleh kerajaan negeri Sabah tersebut adalah satu tindakan yang berani dan dianggap sangat tepat pada masanya berikutan situasi semasa penularan COVID-19 di negeri ini masih berada pada tahap membimbangkan dengan kadar kebolehjangkitan atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian masih pada kadar melebihi 1.00.

Pada masa yang sama, terdapat beberapa lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti di daerah Tawau dan Keningau, serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di Kota Kinabalu, Kota Belud, Keningau, Nabawan dan Kinabatangan.

Kewujudan beberapa kluster baharu berpunca daripada majlis sosial sejak kebelakangan ini akibat daripada tahap pematuhan SOP dalam kalangan masyarakat yang rendah adalah antara alasan yang paling utama dalam menjustifikasikan keputusan untuk tidak membenarkan aktiviti bazar Ramadan dijalankan di negeri tersebut.

Sekalipun keputusan untuk tidak membenarkan aktiviti bazar dianggap ‘tidak populis’ dan mengundang kecaman ramai pihak terutamanya dari golongan peniaga, namun ia antara langkah kawalan terbaik bagi membendung penularan COVID-19 dalam kalangan masyarakat terutamanya dalam kelompok masyarakat yang tahap pematuhan SOPnya masih rendah.

Malahan, adalah merupakan satu langkah yang bijak jika sekiranya semua kerajaan negeri yang lain terutamanya bagi negeri yang mempunyai bilangan kes jangkitan dan kadar kebolehjangkitan atau Ro/Rt yang masih tinggi dan membimbangkan untuk meneliti semula apakah wajar aktiviti bazar Ramadhan dan Aidilfitri ini diteruskan?

Atau mungkin aktiviti ini wajar dibenarkan di dalam zon hijau sahaja.

Semoga pandangan yang diberikan mendapat perhatian sewajarnya dari pihak yang berkaitan terutamanya Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 daerah dan negeri yang terlibat.

Jangan nanti sudah terhantuk baru tengadah. – AWANI

Penulis merupakan Perunding Keselamatan & Kesihatan Awam, Safety Management Academy.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *