Rentas Daerah Mengikut Zon Rancakkan Pelancongan Domestik Sabah

Datuk Joniston Bangkuai

KOTA KINABALU : Langkah kerajaan Sabah membenarkan rentas daerah mengikut zon sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mula merancakkan sektor pelancongan domestik di negeri itu.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai berkata hotel, resort dan destinasi pelancongan menerima sambutan memberangsangkan daripada penduduk tempatan, malah ada tempahan terpaksa ditolak terutama di kawasan luar bandar sejak rentas daerah mengikut zon dibenarkan.

Menurutnya, kadar penginapan beberapa resort sekitar bandaraya Kota Kinabalu mencecah sehingga 70 peratus pada hujung minggu dan musim cuti persekolahan minggu lalu dan destinasi pelancongan luar bandar mencapai had kapasiti yang dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

“Ini menunjukkan masyarakat tempatan sedar bahawa Sabah mempunyai banyak tempat pelancongan menarik untuk dilawati terutama sekali di luar bandar,” katanya kepada Bernama, di sini.

Bulan lalu, Sabah membenarkan rentas daerah mengikut enam zon sepanjang PKPP dengan Zon Satu melibatkan Kota Kinabalu, Kota Belud, Ranau, Tuaran, Penampang, Putatan dan Papar; Zon Dua merangkumi Beaufort, Kuala Penyu dan Sipitang manakala Zon Tiga meliputi Kudat, Kota Marudu dan Pitas.

Zon Empat pula melibatkan Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Tongod; Zon Lima merangkumi Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kunak dan Kalabakan manakala Zon Enam meliputi Keningau, Tambunan dan Tenom.

Joniston berkata Sabah optimis pelancongan negeri akan beransur pulih selepas operasi dibuka secara berperingkat dengan memberi fokus utama kepada usaha memperkasakan pelancongan domestik.

Beliau menegaskan penggiat industri pelancongan tempatan sudah bersedia menerima kedatangan pelancong domestik dan tidak sabar menunggu untuk sempadan negara dibuka semula untuk pelancong asing.

Katanya, kadar pematuhan SOP dalam kalangan pengusaha pelancongan di negeri itu adalah sangat tinggi.

“Tiada tempat penginapan yang mahu penularan jangkitan COVID-19 berlaku sehingga menjadi kluster baharu kerana ia akan menjejaskan usaha untuk membuka sektor pelancongan secara berperingkat,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2914