Lelaki Maut Terkena Renjatan Elektrik Di Kampung Lembaga Padi

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditemui maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba mencuri bekalan elektrik di belakang sebuah kilang berhampiran penempatan Setinggan Kampung Lembaga Padi, di sini, kelmarin.

Kejadian disedari pekerja kilang itu kira-kira jam 10.30 pagi selepas menemui seorang lelaki terbaring sebelum memaklumkan kepada polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman, berkata siasatan awal mendapati seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dalam keadaan terbaring di dalam parit belakang kilang berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati mangsa ditemui dengan tangan kanannya menggenggam kabel elektrik dipercayai untuk mencuri kuasa elektrik.

“Menurut saksi yang juga pekerja kilang berkenaan, mereka terdengar suara antara dua hingga tiga orang di belakang kilang, kira-kira jam 3 pagi.

“Pada sebelah pagi, saksi mendakwa ternampak seorang lelaki terbaring di parit dan terus memaklumkan kepada pengurus kilang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

George berkata, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat banyak kabel yang dipercayai digunakan untuk mencuri kuasa elektrik termasuk penyambungan ke tiang elektrik di luar kilang berkenaan.

Katanya, pihak SESB kemudian dihubungi untuk mematikan aliran elektrik di kawasan berkenaan.

“Pegawai perubatan daripada Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas (HWKKS) yang hadir mengesahkan mangsa maut di lokasi kejadian.

“Siasatan di tempat kejadian juga tidak menunjukkan sebarang tanda perbuatan jenayah yang boleh dikaitkan sebagai punca kematian si mati,” katanya.

George berkata, mayat mangsa sudah dirujuk ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 (HQEI) untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.

Katanya, siasatan masih diteruskan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *