Status Penduduk Sukarkan Kerajaan Atasi Masalah Setinggan Di Sabah – Bung

Bung Moktar melihat keadaan lebih 20 rumah atas air di Kampung Simunul, Semporna, musnah dalam kebakaran, baru-baru ini.

SEMPORNA: Timbalan Ketua Menteri, Bung Moktar Radin berkata, status penduduk menyukarkan usaha kerajaan menangani masalah perkampungan setinggan di Sabah.

Katanya, penduduk di kawasan setinggan bukan semuanya warga asing, malah ada juga orang tempatan yang turut menetap di kawasan itu.

“Setinggan ini pula, ada statusnya yang tempatan dan bukan warga tempatan, jadi ini menjadi masalah kepada kerajaan untuk menentukan status mereka.

“Namun jika tidak diuruskan dari awal, saya rasa ia tidak akan mendapat hasil yang lebih baik dan setinggan ini akhirnya akan makin berkembang sehingga tanah kerajaan yang hendak dibangunkan pun dijadikan petempatan setinggan, termasuk di kawasan bandar,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa kebakaran di Kampung Simunul, Semporna, semalam.

Bung yang juga menteri kerja raya negeri berkata, kerajaan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani masalah perkampungan setinggan di Sabah.

Katanya, dengan adanya jawatankuasa berkenaan, masalah setinggan akan dapat dibincangkan secara lebih terperinci dalam Kabinet negeri.

“Di Sabah, banyak kampung yang bertaraf setinggan dan ia berlaku apabila mula-mula hanya 10 rumah, kemudian 20, 200 dan akhirnya menjadi 2,000 rumah.

”Sukar untuk dikawal apabila ia sudah merebak dan sekiranya berlaku kejadian malapetaka seperti kebakaran, satu kampung pun terlibat.

“Perkara ini sudah dibincangkan dalam Kabinet negeri dan kita cuba merancang mencari kawasan tanah untuk dijadikan pusat pemindahan masyarakat setinggan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Menteri Pertanian dan Perikanan, Jeffrey Kitingan berkata, kawasan setinggan yang menceroboh tanah milik Jabatan Perikanan di sekitar Kampung Unggun, di Menggatal, dekat sini, bakal dimusnahkan.

Beliau yang juga timbalan ketua menteri berkata, tindakan itu dibuat berikutan aduan orang awam berhubung perkampungan setinggan yang didirikan di kawasan itu.

Katanya, penceroboh yang juga disyaki pendatang tanpa izin (PTI) itu bukan sahaja membina rumah secara haram, malah membahagikan lot untuk aktiviti penanaman sayuran.

”Tanah seluas 380 ekar berkenaan digazet untuk Jabatan Perikanan, maka kerajaan negeri mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang mengikut Ordinan Tanah Sabah (Bab 68).

”Pihak DBKK (Dewan Bandaraya Kota Kinabalu) juga berkuasa mengambil tindakan mengikut Undang-Undang Kecil (Bangunan) 1951 atau peraturan lain berkenaan isu pengunaan tanah,” katanya.

Jeffrey berkata, aktiviti berkenaan dipercayai berlarutan sejak sekian lama berikutan jumlah rumah haram di Kampung Unggun mencecah 300 buah di kawasan tanah seluas 100 ekar.

Katanya, beberapa laporan polis telah dibuat seterusnya membawa kepada perobohan beberapa rumah haram di kawasan itu, termasuk pemotongan penyambungan elektrik secara haram dalam operasi membabitkan beberapa agensi.

”Bagaimanapun, hal itu kelihatan terus berlaku dan kita harus mencari satu penyelesaian muktamad.

”Sekali lagi kementerian ini akan berkerjasama dengan pihak polis, DBKK, dan Jabatan Tanah dan Ukur untuk melakukan kerja-kerja perobohan.

”Pada masa yang sama kita harus pastikan bahawa penduduk setinggan yang keras kepala ini tidak kembali menceroboh atau hal ini tidak akan ada penghujungnya,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *