Sabah, Sarawak Bukan Lagi ‘Simpanan Tetap’, Kata Penganalisis

Penganalisis berkata, pemimpin parti politik pusat mengunjungi Sabah dan Sarawak hanya pada waktu pilihan raya dan membuat janji yang tidak mereka tepati.

KOTA KINABALU: Gesaan pemimpin PAS untuk mengukuhkan hubungan hanya dengan parti yang berpusat di Semenanjung adalah contoh klasik sikap ahli politik dari Malaysia Barat yang mengabaikan kepentingan Sabah dan Sarawak, kata penganalisis.

Penganalisis sosio-politik Awang Azman Awang Pawi berkata, komentar pengarah strategik PAS, Khairuddin Aman Razali menunjukkan parti yang berpusat di Semenanjung lupa bahawa negeri di Borneo boleh membantu mencapai cita-cita politik mereka.

Awang Azman Awang Pawi.

Beliau berkata, kenyataan itu juga menunjukkan parti tersebut tidak lagi menganggap Sabah dan Sarawak sebagai “simpanan tetap” mereka – istilah yang pernah digunakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi menggambarkan sokongan yang diterimanya daripada negeri berkenaan.

Khairuddin turut menyrbut di media sosial bahawa PAS boleh mendapat sokongan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya akan datang dengan mengukuhkan pakatan antara tiga parti Melayu.

Beliau kemudiannya ditempelak Presiden STAR, Jeffrey Kitingan, yang merupakan sekutu Perikatan Nasional (PN) bahawa PAS perlu mengambil kira parti di Sabah dan Sarawak apabila memikirkan untuk mendapatkan majoriti dua pertiga bagi gabungan itu.

Timbalan ketua menteri Sabah itu berkata, PAS juga perlu melihat pengukuhan hubungan dengan Sabah dan Sarawak sebagai strategi kerana kedua-duanya masih mampu menjadi penentu kemenangan.

Setiausaha PAS Sabah Aliakbar Gulasan, yang cuba meredakan keadaan berkata, sokongan daripada dua negeri di Malaysia Timur itu penting untuk mencapai kemenangan yang meyakinkan dalam pilihan raya.

Awang Azman berkata, “respons penentu kemenagan” Kitingan itu boleh dilihat sebagai “peringatan” kepada parti yang berpusat di Semenanjung.

“Parti di Malaysia Barat seharusnya lebih peka kerana ini boleh menimbulkan reaksi yang tidak dijangka daripada parti tempatan di kedua-dua negeri,” katanya.

Lee Kuok Tiung.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, mana-mana gabungan politik memerlukan sokongan parti Sabah dan Sarawak walaupun mereka hanya mewakili 57 kerusi Parlimen.

Katanya, kenyataan Khairuddin tidak sesuai dalam usaha mendapatkan sokongan Sabah dan Sarawak, terutama setelah pemimpin terdahulu dari Semenanjung memungkiri janji yang dibuat kepada kedua-dua negeri itu.

“Semasa pilihan raya umum, ramai pemimpin ini datang ke sini dan bercakap tentang menjadi rakan setara, bahkan menjanjikan jawatan timbalan perdana menteri.

“Tetapi beberapa ketika selepas pilihan raya, mereka lupa segala-galanya,” katanya.

Lee berkata, komen Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa undang-undang syariah boleh diperkukuhkan sekiranya parti itu memperoleh majoriti dua pertiga juga tidak membantu.

Arnold Puyok.

Beliau berkata, pesaing Umno menggunakan isu ini dan kes mahkamah membabitkan pemimpin parti itu sebagai peluru politik.

“Ini menyebabkan ramai menjauhkan diri dari Umno,” katanya, selain menegaskan bahawa komponen Barisan Nasional, MCA, menolak undang-undang hudud sebelum ini, dan kenyataan mengenai pengukuhan undang-undang syariah “akan memakan diri sendiri”.

Timbalan dekan di Universiti Malaysia Sarawak Arnold Puyok berkata, fokus utama parti Melayu yang berpusat di Semenanjung sekarang ialah untuk memperkuat sokongan dalam kalangan pengundi Melayu di sana.

Beliau bersetuju bahawa peringatan berhubung “kingmaker” oleh Kitingan boleh dianggap sebagai amaran.

“Beliau boleh memberi amaran, tetapi Sabah bukan seperti Sarawak. Sabah jauh lebih terbuka dan tidak terasing daripada politik persekutuan.

“Sarawak lebih terlindung kerana parti tempatan berkuasa dan tidak mudah terpengaruh dengan tekanan persekutuan,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *