Hajiji Azam Hapuskan ‘Napoleon Kecil’

Ketua Menteri Hajiji Noor (duduk, dua dari kiri) bersama Presiden SUCCC Andrew Liew (duduk tengah) dan delegasinya di Kota Kinabalu. (Gambar CM Dept)

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Hajiji Noor memberi amaran tidak akan berkompromi dengan kakitangan awam yang bersikap seperti ‘Napoleon kecil’ di negeri itu.

Hajiji berkata beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap individu seumpama itu yang mampu menjejaskan rancangan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ). (Gelaran ‘Napoleon kecil’ adalah sindiran bermaksud diktator kecil yang lazimnya merujuk kepada golongan yang ‘menunjuk kuasa’.)

“Saya telah memaklumkan Setiausaha Kerajaan Negeri (Safar Untong) untuk memastikan perkara ini diketahui semua penjawat awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Kita tidak mahu melihat ‘Napoleon kecil’ menggugat usaha membawa pembangunan dan pelaburan ke Sabah.”

Bercakap ketika kunjung hormat oleh Dewan Perniagaan Cina Bersatu Sabah (SUCCC) di pejabatnya, Hajiji menggariskan niatnya memastikan rancangan pembangunan SMJ dilaksanakan dengan pantas dan mudah.

“Kita telah merumuskan polisi untuk memudahkan pelaburan di Sabah dan kita mahu menjadikannya sesuai untuk pelabur di Sabah,” katanya.

Dalam pertemuan hari ini, Hajiji berkata beliau gembira berpeluang mengadakan perbincangan dengan pemimpin dewan perniagaan Cina dari pelbagai daerah di Sabah.

“Saya ada di sini dan sedia mendengar pandangan atau cadangan anda,” katanya kepada Presiden SUCCC Andrew Liew.
Antara isu dibangkitkan kumpulan itu termasuk kelewatan projek Lebuh Raya Pan Borneo.

Hajiji berkata, beliau diberi jaminan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika lawatan pemimpin itu ke Sabah baru-baru ini, bahawa pelaksanaannya akan dipercepatkan menggunakan inisiatif pembiayaan swasta.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *