Peruntukan Saksama Untuk Sabah Dalam RMK-12 Bukti Kerajaan Adil – PM

Tan Sri Muhyiddin Yassin

KOTA KINABALU: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kerajaan Persekutuan bersikap adil terhadap Sabah dengan memperuntukkan sumber kewangan yang saksama bagi pembangunan di negeri ini menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Perdana Menteri berkata, pihaknya menyedari terdapat jurang besar dalam pembangunan di Sabah berbanding negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, selaras matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 untuk menyediakan taraf hidup yang wajar kepada rakyat Malaysia, tumpuan pihaknya adalah untuk memastikan pembangunan seimbang dilaksanakan termasuk di Sabah.

“Ini penting bagi memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati pembangunan adil dan saksama berdasarkan konsep ‘Kemakmuran Bersama’ atau ‘shared prosperity’.

“Dalam konteks Sabah, saya sedar dan insaf bahawa jurang pembangunan masih agak ketinggalan dalam beberapa aspek jika dibandingkan negeri di Semenanjung.

“Jadi, kerajaan menekankan layanan adil dalam pembentukan dan perancangan RMKe-12 dengan memperuntukkan sumber kewangan yang saksama dalam pembangunan negeri ini,” katanya ketika berucap pada program Sesi Balai Rakyat ‘Makmur Bersama Sabah 2030’ di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Selain itu, ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam antara yang hadir pada majlis berkenaan.

Muhyiddin berkata, peruntukan dalam RMKe-12 merangkumi hampir semua aspek bagi merancakkan pembangunan ekonomi, pembangunan luar bandar, pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi dan peluang pelaburan di Sabah.

“Pada Rolling Plan Pertama (RP1) 2021 RMKe-12, sebanyak 1,039 projek pembangunan dengan peruntukan RM5.01 billion sudah diluluskan khusus untuk Sabah bagi pelaksanaan projek merentasi pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

“Antara projek pembangunan utama di Sabah yang sedang dilaksanakan ialah Lebuhraya Pan Borneo Sabah, projek pembesaran Pelabuhan Kontena Sapangar Bay, menaik taraf 50 sekolah daif secara sistem binaan berindustri (IBS) dan projek jalan perhubungan desa Sabah.

“Pada masa sama, usaha kerajaan turut tertumpu dalam menangani kemiskinan dan memperkukuh pembangunan inklusif di Sabah seperti Program Khas Anak Negeri (PKAN) Sabah merangkumi tiga kluster iaitu Native Customary, Mahkamah Adat dan Pembangunan Modal Insan yang sedang dilaksanakan di bawah RP1 2021,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, kerajaan juga akan terus mengambil pendekatan secara menyeluruh bagi memastikan kebajikan setiap rakyat termasuk di Sabah terbela.

“Usaha juga terus digiatkan untuk membina dan membaik pulih rumah di Sabah melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dengan peruntukan RM369.8 juta.

“Ini termasuk RM213.6 juta untuk pembinaan 2,700 rumah baharu yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 13,000 ahli isi rumah dan RM156.2 juta untuk membaik pulih 9,200 unit rumah bagi 45,000 isi rumah,” katanya.

Beliau berkata, Program Modal Insan juga bakal dilaksanakan dalam masa terdekat oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) memfokus kepada kumpulan terkesan dengan pandemik khususnya golongan B40 dengan menyediakan peluang pekerjaan atau keusahawanan bagi rakyat negeri ini. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost