Madius Tangau Cabar Anwar Ibrahim Tubuh Kabinet Bayangan

Menurut Madius tanpa sebuah Kabinet bayangan, pembentukan demokrasi yang matang di Malaysia tidak dapat dilaksanakan.

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan Kabinet bayangan bagi memastikan proses semak dan imbang ke atas kerajaan dapat berlangsung dengan lebih berkesan.

Madius berkata pihak Pembangkang tidak boleh lagi melengahkan masa dan perlu bertindak pantas sebelum terlambat.

“Berhenti mengatakan bahawa parti-parti Pembangkang berpecah-belah dan semua ahli mahukan jawatan ini dan jawatan itu.

“Mulakan proses itu sebelum terlambat.

“Selagi kami tidak melaksanakannya, kami selaku pihak Pembangkang tidak berpeluang memainkan peranan penting sebagai penggubal undang-undang,” katanya pada perbincangan panel ‘Implementation of a Shadow Cabinet’ secara maya hasil anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) pada Khamis.

Beliau berkata tanpa sebuah Kabinet bayangan, pembentukan demokrasi yang matang di Malaysia tidak dapat dilaksanakan.

“Lebih-lebih lagi dengan penggantungan Parlimen, ia bermaksud tiada dasar alternatif yang akan dicadangkan kepada orang ramai.

“Sekiranya kita (Pembangkang) ingin mewujudkan demokrasi matang di negara ini, ia bermaksud rakyat memilih kita berdasarkan dasar yang ditawarkan dan maklumat yang diberikan.

“Tanpa sebuah Kabinet bayangan, ia tidak dapat dilakukan,” katanya.

Katanya lagi, ahli Parlimen Pembangkang tidak perlu risau jika tidak mendapat pengiktirafan daripada kerajaan yang memerintah kerana proses tersebut akan berlaku secara semula jadi.

“Bagaimana kerajaan boleh mengiktiraf Kabinet bayangan jika anda belum bermula? Sebaik sahaja anda berjaya membentuk Kabinet bayangan itu, anda boleh meminta Perdana Menteri untuk mengiktiraf kami.

“Ingat… kita ialah ‘kerajaan yang menunggu untuk dipilih’ (government in waiting).

“Adakah apabila kita sudah mengambil alih tampuk pemerintahan baru kita akan berebut dan membentuk Kabinet?” katanya.

Sementara itu, dalam program yang sama, Bersih 2.0 turut menyeru pihak Pembangkang untuk bekerjasama untuk membentuk Kabinet bayangan di peringkat Persekutuan dan Negeri supaya persaingan politik terhadap kerajaan dapat terhasil.

Penyelidik bebas, Maha Balakrishnan yang menulis laporan bertajuk ‘Kerangka Kabinet Bayangan untuk Malaysia’ mengemukakan beberapa cadangan kepada pihak Pembangkang termasuk:

1. Membentuk Kabinet bayangan dengan sokongan meluas oleh pembangkang di Parlimen atau Dun kerana lebih banyak sokongan diberikan kepada Kabinet bayangan, lebih kukuh pengaruhnya untuk mendesak akses dan kelebihan di peringkat institusi.

2. Menteri atau exco bayangan perlu dipilih berdasarkan merit terlebih dahulu. Mereka sewajarnya mempunyai pengalaman dalam bidang yang mereka bayangi. Barisan Kabinet bayangan perlu mencerminkan kepelbagaian masyarakat yang diwakili seperti parti politik, fraksi, etnik, jantina, umur dan kewilayahan.

3. Seorang menteri bayangan perlu dilantik untuk membayangi setiap kementerian kerajaan. Menteri bayangan perlu menjadi jurucakap utama bagi isu-isu yang dibangkitkan Pembangkang.

4. Kabinet bayangan perlu bermesyuarat secara tetap sekurang-kurangnya secara mingguan untuk membayangi Kabinet kerajaan. Perkara yang perlu menjadi agenda utama termasuklah:

• Laporan terkini oleh pemimpin bagi melaporkan situasi politik yang meliputi aktiviti dan langkah yang akan diambil oleh Pembangkang;

• Pertimbangan Kerajaan bagi urusan di Parlimen (contohnya rang undang-undang atau usul) serta respon dan strategi Pembangkang, yang dipimpin oleh menteri bayangan yang berkaitan;

• Perbincangan perkara berbangkit berkenaan polisi Pembangkang yang dipimpin oleh menteri bayangan berkaitan;

• Perbincangan wakil rakyat Pembangkang untuk urusan Parlimen, termasuk usul dan soalan. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2185