Pelajar Bekeperluan Khas KV Keningau Wakili Malaysia Di Asian English Olympics

Mohd Aizat Izzudin Bin Azme, Jackob Yoshua Jeffry dan Asmalina Binti Arturo Tabianan Junior

KENINGAU: Tiga pelajar bekeperluan khas dari Kolej Vokasional Keningau, Sabah, akan menyertai Asian English Olympics (AEO) secara maya dalam kategori pertandingan bercerita pada 15-17 Februari 2021 anjuran BINUS University yang terletak di Jakarta, Indonesia.

Ketiga-tiga pelajar ini, Mohd Aizat Izzudin Bin Azme, Jackob Yoshua Jeffry dan Asmalina Binti Arturo Tabianan Junior menerima bimbingan dari guru pendidikan khas mereka, Cikgu Lana Abon, untuk mempersiapkan diri bagi pertandingan tersebut.

Penyertaan mereka dalam pertandingan ini merupakan kali pertamanya individu berkeperluan khas bersaing dalam acara peringkat Asia ini.

Asian English Olympics merupakan acara tahunan yang terdiri dari lapan kategori pertandingan: penulisan cerita, pembacaan berita, drama radio, bahas, pertandingan mengeja, ucapan, permainan Scrabble serta bercerita. Tiga pelajar ini akan mempersembahkan cerita mereka dalam tempoh lima minit bertemakan frasa “Exceed Our Possibilities”.

Setiap kategori pertandingan terdiri dari tiga peringkat: pusingan awal, pusingan separuh akhir dan pusingan akhir.

Para pelajar ini akan menyampaikan cerita yang berkaitan dengan mitos dan lagenda yang berasal dari pelbagai kaum etnik di Sabah.

Mohd Aizat akan mempersembahkan cerita bertajuk “Sumanga” yang merujuk kepada semangat perahu yang memberi tuah dan perlindungan kepada kampung-kampung nelayan yang bergantung dengan sumber laut untuk mencari rezeki.

Jackob Yoshua akan menyampaikan kisah seorang gergasi bernama “Soyang” yang telah disumpah untuk bertukar menjadi binatang pada waktu siang akibat tindakannya yang suka membuli haiwan lain yang hidup di hutan.

Asmalina pula akan menceritakan makhluk mitos yang dikenali sebagai “Timbalun” yang kononnya mampu mendatangkan pelbagai penyakit kepada manusia, haiwan dan tumbuhan hijau. Pada tahun 2020, Mohd Aizat dan Jackob Yoshua pernah mempersembahkan beberapa cerita dan puisi melalui rakaman video dalam acara kesenian “Tiny Lit Fest” anjuran sebuah persatuan di Brunei. Penyampaian cerita mereka yang turut dilengkapi dengan lakaran-lakaran asli itu mendapat maklumbalas yang positif dari pihak penganjur dan penonton.

Pengarah kolej tersebut, Mr. Johari @ Jaibet Bin Sabin, memuji usaha para pelajar ini serta guru pembimbingnya dalam membuktikan bahawa individu berkeperluan khas mampu cemerlang dalam pelbagai bidang.

Ketua jabatan pendidikan khas di kolej tersebut, Zuliany Abu Khalid, menyuarakan rasa bangganya dengan kegigihan pelajar ini mencuba sesuatu yang baru dan mengasah bakat mereka dalam bidang yang sebelum ini jarang diceburi oleh golongan berkeperluan khas.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *