Kampung Tidak Selamat Diduduki, Penduduk Disaran Berpindah – Bung Moktar

Bung Moktar Radin meninjau keadaan banjir di Kampung Pengkalan Bukit Garam, Kinabatangan baru-baru ini.

KINABATANGAN: Penduduk Kampung (Kg) Pengkalan Bukit Garam sekali lagi disaran untuk berpindah berikutan kawasan kampung yang sering dilanda banjir itu tidak selamat untuk diduduki.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, beliau akan bertemu semula dengan penduduk kampung bagi memaklumkan keadaan sebenar tentang status kampung itu.

Beliau berkata, Jawatankuasa Keselamatan Majlis Daerah Kinabatangan mengesahkan kampung yang sering terjejas banjir itu tidak selamat diduduki masyarakat. Malah, dari aspek kesihatan juga amat membimbangkan.

Menteri Kerja Raya ini berkata, keadaan perumahan di kampung itu tidak tersusun dalam semua aspek. Selain tiada pelan perancangan, kampung tersebut juga tiada kemudahan dan kedudukannya begitu hampir dengan Sungai Kinabatangan.

Ia menyebabkan kawasan itu terdedah dengan masalah banjir apabila hujan lebat berlaku.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag ini berkata, kerajaan telah menyediakan satu tapak baharu sebelum ini namun, segelintir penduduk enggan berpindah menyebabkan mereka berhadapan dengan risiko terutamanya semasa banjir besar.

“Sebilangan penduduk masih menganggap perkampungan ini selamat untuk diduduki dan mereka harus sedar keadaan sebenar adalah sebaliknya,” katanya ketika melawat dan menyampaikan bantuan bakul makanan kepada penduduk di Kg Pengkalan Bukit Garam, baru baru ini.

Sementara itu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Lamag, Abu Bakar Gapar berkata, selain Kg Pengkalan, kampung lain yang terjejas banjir termasuklah Kg Danau Ria, Kg Muhibah, Kg Sri Manis, Kg Nusa Jaya, Kg Buang Sayang, Kg Sungai Lokan dan Sangau, Kg Kembara Jaya dan Kg Pelangi.

Katanya, secara keseluruhan isi rumah yang terjejas banjir adalah seramai 220 keluarga.

Tambhanya, pemantauan akan terus dibuat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan Pejabat Daerah.

Abu Bakar berkata, Pusat Kawalan Operasi Banjir (POKB) daerah  juga dalam keadaan siap siaga membuka pusat pemindahan sementara (PPS) di dua lokasi iaitu Dewan Kampung Danau atau Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Garam sekiranya keadaan banjir bertambah buruk.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost