Pengusaha, Penumpang Bas Ekspress Lega Kebenaran Rentas Daerah

TAWAU : Kelonggaran perjalanan rentas daerah yang diumumkan oleh pihak kerajaan bermula 7 Disember baru-baru ini sekaligus memberi kebenaran kepada pengusaha bas ekspress Tawau-Sandakan-Kota Kinabalu beroperasi semula.

Kebenaran itu memberi kelegaan kepada pengusaha bas express dan penumpang yang ingin bekerja serta mempunyai urusan penting di ibu negeri.

Pengusaha Bas Express, Joseph Lok, 36, berkata sejak penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan perniagaannya sangat terjejas kerana larangan rentas daerah.

“Jika dikira pada tahun ini, kami hanya beroperasi hanya enam bulan sahaja dan semua kos termasuk gaji pekerja, sewa serta pinjaman yang dibuat perlu dikeluarkan menggunakan pendapatan syarikat sebelum ini,”katanya.

Beliau berkata, kebenaran rentas daerah ini memberikan kelegaan kepada kami dipihak yang mengusahakan bas ekspress jarak jauh kerana dapat menjana semula pendapatan syarikat.

“Walaupun kapasiti penumpang yang dibenarkan hanya separuh sahaja kerana perlu penjarakan fizikal di dalam bas, namun ianya lebih baik daripada tidak beroperasi sepenuhnya.

“Kami akan sentiasa mengikuti semua prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan semasa beroperasi termasuk sanitasi keseluruhan bas, periksa suhu badan dan penjarakan fizikal,”katanya.

Menurutnya, sejak hari pertama beroperasi, sambutan daripada penduduk sangat menggalakan dan bersyukur masyarakat masih memerlukan pengangkutan awam darat untuk perjalanan ke ibu kota.

“Sebagai pemain industri bas ekspress, kami sangat memerlukan bantuan daripada pihak kerajaan dalam memberikan lebih banyak subsidi bagi meringankan beban kami,”katanya.

Sementara itu, penumpang Rosalinda Ibrahim, 19, berkata kelonggaran rentas daerah yang diberikan merupakan satu rahmat kerana banyak urusan penting yang tertunggak dapat dilakukan semula.

Rosalinda

“Saya terpaksa menunggu lama untuk meneruskan urusan di ibu negeri kerana penutupan semua perjalanan rentas daerah yang dibuat oleh pihak kerajaan bagi membendung penularan wabak.

“Sebenarnya, saya mempunyai temujanji di Jabatan Perdaftaran Negara (JPN) di Kota Kinabalu, namun ianya tidak dapat dilakukan susulan penutupan sebarang perjalanan rentas daerah,”katanya.

Beliau berkata, kami sekeluarga sangat berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana memberikan kebenaran ini tanpa sebarang syarat walaupun masih menguatkuasakan PKPB.

“Saya juga melihat keputusan ini dibuat memandang kadar kes positif yang semakin menurun dan semua masyarakat sudah mula faham dengan disiplin serta norma baharu kehidupan pada masa ini.

“Kami mendoakan semoga penularan wabak dapat diatasi dengan segera supaya kehidupan boleh kembali seperti dahulu dan kerajaan dapat memulihkan semula ekonomi negeri,”katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1142