PDRM Komited Atasi Penduduk Bolos Jalani PKPD Di Kampung Desa Bajau, Dasar Baru

Antara laluan lorong tikus yang ditutup petugas menggunakan kawat berduri. (Gambar FB 13 Briged).

LAHAD DATU: Polis Diraja Malaysia di sini mengkoordinasi pasukan keselamatan untuk mengekang penduduk bolos dari dua lokaliti, Kampung Desa Bajau dan Dasar Baru yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Dengan keluasan kampung seluas 36.25 hektar dengan perimeter PKPD 2.377 kilometer, dua kampung yang letaknya berdekatan itu mempunyai 914 rumah dengan jumlah 4,934 penghuni.

Menurut Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad, dengan kekuatan pasukan keselamatan yang ada beliau meyakini matlamat itu dapat dicapai.

Rohan Shah Ahmad

“Bagi memastikan ‘sasaran’ tidak bolos, rondaan dan kawalan mengikut sistem ‘prowler’ berkala dilaksanakan.

“Di samping itu, empat post kawalan disediakan bagi memastikan matlamat penugasan kali ini mampu dilaksanakan dengan teratur dan lancar,” katanya di sini.

Menurutnya, semua petugas komited dan siapsiaga menghadapi sebarang kemungkinan demi memastikan langkah-langkah pengawalan dan pencegahan penularan COVID-19 dicapai.

Katanya, lorong-lorong tikus di dua lokaliti PKPD ini telah dikenalpasti dan telah ditutup menggunakan kawat berduri.

“Selain itu, Team Cantas dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu juga diarahkan untuk membantu tindakan ini seperti menahan, menangkap dan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang melanggar apa juga tindakan menyalahi undang-undang sedia ada dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Terdahulu, satu mesyuarat koordinasi telah diadakan dan melibatkan beberapa agensi keselamatan lain daru Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu dan lain-lain.

Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Desa Bajau dan Kampung Dasar Baru di Lahad Datu, bermula Rabu lalu hingga 15 Disember depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan 665 ujian saringan dan 90 kes positif COVID-19 direkodkan di dua lokaliti itu. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *